berita

‘Sepatutnya Suami Solat Jumaat Di Masjid Itu..’ – Rakyat Malaysia Kongsi Suami Terselamat Daripada Tembakan

March 15th, 2019 | by Hazurin
Kini Trending

Insiden tembakan secara rambang yang berlaku di masjid Christchurch dilaporkan sehingga kini telah menyebabkan 40 orang jemaah telah terbunuh dan lebih 20 lagi cedera.

Ekoran daripada kejadian itu, seorang wanita dikatakan bernasib baik kerana suaminya tidak solat Jumaat di masjid berkenaan pada hari ini. Dia antara rakyat Malaysia yang menetap di Christchurch telah berkongsikan situasi kini yang berlaku di sana.

‘Sepatutnya suami solat Jumaat di masjid itu’

Menurut perkongsian Nor Aida Baharudin, sepatutnya hari ini suami akan solat di Masjid Al Noor tetapi dibatalkan atas sebab kekangan kerja.

Sepatutnya, suami berada di Masjid Al Noor untuk Solat Jumaat hari ini tetapi disebabkan kekangan kerja, dia terpaksa menunaikan solat di pejabat sahaja.

Mujur, kejadian tembakan berlaku ketika suami tiada kerana kebiasaannya, dia akan berada awal di masjid itu sementara menunggu masuk waktu solat.

Ketika kejadian tembakan berlaku, Nor Aida dikatakan sedang berniaga trak makanan di pusat bandar berkenaan sebelum menerima panggilan daripada suami, Japi Zin Sulaiman memberitahu tentang serangan tersebut. Suaminya juga meminta supaya Nor Aida dan empat orang anaknya untuk berkemas dan kembali segera ke rumah.

‘Rakyat New Zealand bersikap ramah’

Dia juga tidak menyangka serangan itu berlaku kerana rakyat New Zealand terkenal dengan sikap ramah dan mereka sentiasa melayan pelancong dengan baik.

Selama lebih 18 tahun berhijrah ke sini, ini kejadian paling buruk pernah kami lalui. Kejadian itu dianggap yang terburuk dalam sejarah New Zealand dan ia turut diakui oleh Perdana Menteri, Jacinda Arden.

Nor Aida yang juga seorang pengusaha agensi pelancongan juga memberitahu bahawa suami dan anak perempuannya masih berada di pejabat serta universiti kerana pihak berkuasa tidak membenarkan mereka pulang sehingga keadaan selamat.

Masjid itu jadi tumpuan untuk solat Jumaat

Menurut Nor Aida lagi, Masjid Al Noor itu terletak di kawasan Riccarton iaitu kira-kira 12 kilometer dari kediamannya dan antara masjid yang menjadi tumpuan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Masjid itu adalah yang terbesar di Christchurch dan menjadi tumpuan umat Islam di sini untuk menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu lain. Ia juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang berada di sini.

Tambahnya lagi, terdapat kira-kira 300 rakyat Malaysia berada di Christchurch termasuklah pelajar. Semua premis pentadbiran dan sekolah diarahkan ditutup sementara sehingga keadaan di sahkan selamat. Selain itu, penduduk Christchurch juga diarahkan untuk berada di rumah masing-masing dan mereka mengikuti perkembangan semasa menerusi laporan televisyen.

Sumber: Harian Metro