Penyanyi rock Datuk Awie, tidak bersetuju seandainya kerjaya seni seseorang selebriti didesak untuk dihentikan kerana ia merupakan mata pencarian mereka untuk keluarga.
Artikel Berkaitan: Berbentuk Amal & Bukan Kaut Keuntungan, Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza Diteruskan
Artikel Berkaitan: Datuk Awie Bakal Terbitkan Filem & Bawa Watak Husin, Syukur Masih Melekat Di Hati Peminat – ‘Saya Rasa Ini Satu Petanda Yang Sihat’
Tanggungjawab kepada keluarga
Ketika ditemui OhBulan! Datuk Awie memberikan pandangannya tentang isu penangguhan Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang akan diadakan pada 9 Mac ini.
Awie menegaskan bahawa golongan artis juga memegang tanggungjawab besar terhadap keluarga, justeru itu mereka perlu menyara insan tercinta dengan menggunakan bakat yang ada.
Kami pun berkeluarga, anak sekolah, ada yang di universiti, ada anak yang bakal lahir dan lain-lain. Ini adalah tanggungjawab saya dan perjuangan saya untuk keluarga. Sama juga seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M.Nasir atau sesiapa sahaja. Semua ini adalah perjuangan seni mereka untuk keluarga mereka.
Kebetulan kami ini dilahirkan berseni, ada kemampuan untuk menyanyi, berlakon, buat lagu dan sebagainya. Jadi kami kena teruskan. Kerja ini juga Allah yang tentukan, bukannya kami.
Awie berkata demikian di sidang media Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman memohon agar kerjaya mereka sebagai anak seni tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
Kita takut kepada dosa, semua orang takut kepada dosa. Ini adalah kerja. Untuk mereka yang meminta kami untuk berhenti itu salah, kamu menyekat rezeki kami, anak-anak dan isteri. Mereka nak makan apa kalau kami tak bekerja?
Jangan minta kami berhenti. Masing-masing ada kerja dan tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab kepada Allah, isteri dan anak-anak serta kawan-kawan, jadi jangan halang tanggungjawab kami.
Tak lupa Palestin
Sementara itu, pelantun lagu Di Ambang Watie ini juga berkata dia dan Wings tetap cakna dengan pergolakan yang berlaku di Palestin, malah mereka turut menghulurkan sumbangan selain mengajak peminat untuk turut berdoa bersama-sama.
Kenapa nak hentikan kerja kami? Sedangkan kami boleh berdoa setiap hari, di atas pentas boleh berdoa dan sebelum kami buat persembahan pun kami buat solat hajat dahulu..beri sedekah kepada Palestin.
Tak perlu bercerita kepada orang pun sebab akan jadi riak, tapi sekarang kami perlu bercerita. Akan datang pun kami akan buat juga.
Semasa kami buat persembahan di Shah Alam baru-baru ini kami ada buat segment tribute untuk Palestin. Kami berselawat dan baca doa terus di atas pentas kemudian diaminkan oleh 9,000 orang. Jadi saya rasa itu adalah satu kejayaan yang besar untuk kita doakan saudara di Palestin.
Terdahulu, konsert Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil telah mendapat perhatian mufti yang menyarankan agar ianya tidak dilakukan pada tarikh berkenaan berikutan menghampiri bulan Ramadan.
Bagaimanapun, Siti Nurhaliza menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa dia tidak berhasrat untuk menunda acara tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Untuk info, Konsert Wings akan diadakan di SPICE Arena Penang pada 24 Februari hadapan dan tiket boleh dibeli pada harga RM95 (Free Seating/ Standing), RM155 (Rock Zone), RM158 (Rock Silver), RM188 (Rock Gold) dan RM258 hingga RM315 (VIP). Tiket boleh didapatkan di https://wings.ubertickets.asia.
Lebih menarik, seramai 700 pemenang bertuah bakal menerima hadiah antaranya adalah koleksi barangan peribadi setiap anggota kumpulan Wings.
@ohbulanofficial Moga seni artis lejen dapat diteruskan ??#ohbulan #fyp #news #awie