Selepas 15 tahun tidak beraksi di pentas berprestij, penyanyi Ziana Zain bersama Hasif Upin bakal membawakan lagu berjudul Waktu di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL38) pada 3 Mac nanti.
Artikel Berkaitan: #RoadToAJL38: ‘Saya Dapat Rasakan AJL Yang Terbaru, Generasi Baru & Lama Berkongsi Pentas’ -Ziana Zain
Artikel Berkaitan: #SFMM38: Ziana Zain Hargai Komposer & Penulis Lirik – ‘Saya Dah Tak Fikir Saingan’
Semangat jadi faktor kekuatan
Ketika ditemui OhBulan!, Ziana berkata ketika ini dia sedang membuat persiapan bukan sahaja dari segi vokal tetapi kesihatan fizikal juga dititikberatkan.
Saya dah berusia 56 tahun jadi kena ‘fit’, pergi gim dan banyakkan senaman kardio. Saya bernyanyi dengan mereka yang mempunyai tenaga yang masih tinggi jadi level tenaga saya pun kena sama kalau boleh.
Seminggu tiga kali saya akan pergi ke gim.
Ziana berkata demikian di majlis Meet & Greet Paling Ikonik AJL38 yang berlangsung di Pasar Seni baru-baru ini.
Pelantun lagu Madah Berhelah ini juga mengucapkan rasa syukur kerana dia masih diperlukan di dalam industri seni meskipun kadang kala berasa penat.
Menurutnya, umur bukanlah penghalang untuk kekal aktif. Justeru itu, selagi diberi peluang Ziana akan memenuhi setiap tawaran.
Syukur Alhamdulillah, 2024 ini saya sibuk. Walaupun kadang-kadang penat tetapi semangat itu kuat. Saya rasa seronok. Pembuka tahun je mula dengan AJL dan macam-macam program lagi. Yang saya tak mahu iaitu sepi tanpa sebarang tawaran.
Pernah ada suatu masa tu penat sangat tapi masih ada semangat nak bangun. Peluang takkan datang selalu.
Pada usia ini saya masih diperlukan, masih banyak undangan, Allah masih bagi tenaga, anak-anak pun masih belajar jadi benda-benda ini yang menyebabkan saya untuk terus bekerja.
Untuk info, kali terakhir Ziana bertanding di AJL adalah pada 2008 menerusi lagu Dingin.
AJL38 bakal menyaksikan sebanyak 12 buah lagu bersaing dan diadili oleh barisan juri professional yang dilancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil.
Siapakah yang layak menjadi juara dan dinobatkan sebagai lagu terbaik bagi AJL38? Adakah sejarah baru bakal tercipta? Debaran kian terasa, sama-sama kita nantikan.