Hausboom Music 2023 yang berlangsung di Sepang International Circuit pada 9 dan 10 September lalu berjaya menggamatkan para peminat muzik tempatan dengan persembahan daripada barisan penyanyi dan band popular negara.
Acara yang berlangsung selama dua hari ini menarik lebih 10,000 penggemar muzik dari pelbagai genre antaranya rock, dangdut, R&B, indie dan hip hop.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Persembahan Baby Shima Teruk Dikecam – ‘Ia Hanyalah Gelekan Biasa Untuk Dangdut’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Akan Berhenti Main Media Sosial, Terlalu Toksik’ – Shila Amzah Merajuk Selepas Dikecam Pakai Baju Sendat?
Hari Pertama
Memasuki siri ketiga penganjuran, jenama air terkemuka, Hausboom bersama-sama Affin Bank dan disokong oleh Cuti-Cuti Malaysia mengisi hari pertama acara menerusi persembahan daripada Orked A. Hizadin, Naratu, IamNeeta, Hyndia dan Akeem Jahat.
Walaupun dalam keadaan panas terik, konsert diteruskan lagi dengan kumpulan bergenre ska iaitu Budak Nakal Hujung Simpang yang mengenakan uniform sekolah. Paling menarik adalah vokalis kumpulan tersebut, John Bear membuat aksi ‘crowd surfing’ sambil menyanyikan lagu Cari Tapak.
Seterusnya, kira-kira jam 3.30 petang giliran Insomniacks pula membuat persembahan dan disusuli dengan kumpulan Gerhana Ska Cinta serta Nogood.
Sebelum dua persembahan terakhir diteruskan, penonton terpaksa berteduh berikutan hujan lebat di sekitar kawasan tersebut. Bagaimanapun, setelah hujan reda, penonton masih bertenga untuk melayan lagu-lagu ‘lagend’ daripada kumpulan Exits dan gelekan Baby Shima.
Pada sebelah malam pula, pentas diambil alih oleh kumpulan-kumpulan ternama negara iaitu ForceParkBois VS ChronicalZ, Alif Satar & The Locos dan band lagenda Spider.
Mood ‘rock and roll’ mula dirancakkan dengan persembahan bertenaga daripada Bunkface dan diakhiri dengan nyanyian mantap dari band unggul negara, Search.
Hari Kedua
Konsert hari kedua dibuka dengan persembahan antaranya daripada Midnight Fusic, 53 STU, Luqman Podolski dan Iqbal M.
Antara yang paling ditunggu-tunggu adalah band Sekumpulan Orang Gila yang turut menampilkan Shila Amzah di pentas Hausboom Music kali ini.
Cuaca yang baik pada hari kedua membuatkan penonton teruja dengan nyanyian daripada Salammuzik dan Toko Kilat.
Persembahan terakhir bagi slot petang iaitu Masdo menghangatkan lagi pengunjung dengan nyanyian dan tarian penuh aksi daripada mereka.
Pada sebelah malam, konsert gergasi ini dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi rap terkenal iaitu Joe Flizzow, SonaOne dan Alyph. Tidak kurang hebatnya persembahan Datuk M. Nasir dengan lagu-lagu nusantara dan juga lagu-lagu indie daripada Hujan.
Terkenal dengan jolokan Ratu Rock, Ella menjadi penutup tirai Hausboom Music untuk edisi kali ini. Penonton dilihat bersama-sama bernyanyi sambil melambai tangan semasa Ella mempersembahkan lagu Standing in The Eyes of The World dan mengakhiri konsert dengan lagu Gemilang.