Tahun 2023 hampir ke penghujungnya. Tak dinafikan, pelbagai tragedi yang berlaku sepanjang tahun ini yang sememangnya mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Di sini, OhBulan! senaraikan lima berita dan isu semasa yang mendapat liputan meluas media.
Pembunuhan Zayn Rayyan
Pada awal Disember 2023, Malaysia dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak Autisme, Zayn Rayyan, 6, yang menjadi mangsa bunuh. Difahamkan, pada awalnya, mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama ibunya pada 5 Disember.
Namun beberapa hari kemudian, kanak-kanak itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai. Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada bahagian tubuh badan mangsa dan polis mengesahkan mangsa telah dibunuh. Siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan bagi menjejaki suspek pembunuhan Zayn Rayyan.
Artikel Berkaitan: Punca Kematian Terjawab, Adik Zayn Rayyan Sah Dibunuh
Artikel Berkaitan: Jumpa Kesan Cap Jari & DNA, Pembunuh Zayn Rayyan Mungkin Ada Rekod Jenayah Seksual
Kemalangan keluarga Abdur Rahman
Hilang 6 insan tersayang dalam sekelip mata termasuk ibu, ayah dan empat beradik. Itulah yang dilalui Abdur Rahman, 19, iaitu anak sulung keluarga yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September lalu. Kejadian nahas tersebut berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk menghantar ibunya di Segamat.
Seorang lagi anak mereka Abdullah, 15, (adik Abdurrahman) selamat dalam kemalangan terbabit dan difahamkan, mereka kini menetap bersama bapa saudaranya (abang kepada arwah ibu Abdur Rahman), Mohd Hairul Nor Muhammad.
Mangsa yang terlibat ialah Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, bersama empat lagi anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Artikel Berkaitan: Keadaan Kesihatan Abdullah Semakin Baik, Sudah Mampu Untuk Bercakap
Tragedi Elmina
Sebuah pesawat Beechcraft Model 390 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dilaporkan terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16 pada 17 Ogos. Difahamkan, pesawat itu terhempas dua minit sebelum mendarat.
Kemalangan itu mengorbankan 10 individu termasuk dua orang awam iaitu penunggang p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.
Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rakaman ‘Dashcam’ Kejadian Pesawat Terhempas Di Elmina
Artikel Berkaitan: ‘Saya Dengar Penunggang Motosikal Beberapa Kali Menjerit Allahuakbar’
Kapal selam Titan
Sekitar jun 2023, seluruh dunia dikejutkan dengan berita kehilangan kapal selam pelancong milik OceanGate yang digunakan untuk melihat bangkai kapal Titanic yang karam pada tahun 1912. Menurut sumber, selepas lima hari pencarian akhirnya Pegawai Pantai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kapal selam yang membawa lima penumpang meletup selepas serpihan kapal selam ditemukan.
Kelima-lima mangsa iaitu Stockhon Rush (Pengasas, CEO OceanGate Expeditions, mengemudi kapal selam Titan), Hamish Harding (Ahli perniagaan, penjelajah dan bilionair Britain), Paul-Henri Nargeolet Pakar maritim Perancis yang melakukan lebih 35 selaman ke lokasi Titanic), Shahzada Dawood (Ahli perniagaan berketurunan Britain-Pakistan) dan Suleman (Anak kepada Shahzada) dilaporkan terkorban.
Sekadar info, tiket tersebut berharga AS$250,000 (RM1.168 juta) untuk selaman selama lapan hari di sekitar bangkai kapal Titanic.
Artikel Berkaitan: Pencarian Berakhir! Kapal Selam Titan Meletup Berhampiran Titanic, Semua Penumpang Maut
Palestin
Jenayah perang dilakukan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-89 (27 Disember) kini sudah meragut 21, 110 nyawa.
Pejabat media kerajaan Hamas angka korban itu meningkat sejak 7 Oktober, termasuk 195 orang yang terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu. Berdasarkan data yang dikongsi, jumlah mangsa yang cedera dalam jenayah perang itu turut meningkat kepada 55, 243 orang.
Susulan daripada peperangan tersebut, kebanyakan negara termasuk Malaysia mengambil inisiatif dengan menghantar pelbagai jenis bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza. Malah kebanyakan negara mula menumbangkan ekonomi zionis dengan memboikot produk-produk keluaran Israel dan sekutunya.
Sekadar info, Media Prima Berhad (Media Prima) telah mengaktifkan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima susulan krisis kemanusiaan terkini di Palestin.
Sumbangan kepada mangsa krisis kemanusiaan di Palestin boleh disalurkan melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menerusi akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331.
Selain itu, sumbangan dalam bentuk cek boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 5, Anjung Riong, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: Raja Permaisuri Agong Gesa Genjatan Senjata, Buka Koridor Bantuan Tetap Ke Gaza
Artikel Berkaitan: Media Prima Aktifkan Tabung Kemanusiaan Palestin