berita

Tahukah Korang, 4 Daripada 5 Pelanggan Yang Berjaya Mengelak Ditipu Aktif Membaca Amaran Penipuan Dari Bank Mereka

November 17th, 2023 | by Nurul
Kini Trending

Tiap hari ada je kita dengar kisah mangsa-mangsa penipuan kewangan. Macam-macam usaha dan amaran kesedaran penipuan oleh pelbagai pihak dah pun dijalankan untuk kesedaran orang ramai.

Seperti satu tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) untuk mengukur tahap pemahaman dan kesedaran terhadap penipuan di kalangan pelanggan, hasil kajian telah menunjukkan terdapat korelasi positif antara pendidikan dengan pencegahan penipuan, di mana empat daripada lima orang pelanggan yang berjaya mengelak penipuan juga aktif membaca amaran penipuan dari bank mereka, memberikan mereka maklumat terkini tentang taktik penipuan terbaharu.

Untuk pengetahuan semua, Tinjauan Persepsi Berkenaan Penipuan Kewangan yang berlangsung mulai Jun hingga Julai 2023 menunjukkan statistik yang menggalakkan tentang tahap pemahaman penipuan responden dan pandangan mereka yang menarik tentang penipuan kewangan.

Di bawah merupakan hasil kajian terperinci:

  • Hampir 80% daripada responden percaya bahawa penipuan berlaku disebabkan oleh mangsa secara tidak sengaja mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada penipu dan bukan disebabkan oleh sebarang pelanggaran dalam sistem perbankan
  • Lebih separuh daripada responden berasa mampu untuk mengurus dan bertindak mencegah penipuan kewangan. Selain itu, mereka yang sentiasa membaca dan memahami makluman kesedaran penipuan dari bank adalah 15% lebih bersedia untuk melawan penipuan 
  • Kira-kira 70% daripada responden berpuas hati dengan usaha semasa bank dalam mewujudkan kesedaran tentang penipuan kewangan
  • 76% daripada mereka yang ditinjau juga mendedahkan bahawa pencegahan penipuan adalah topik yang paling mereka gemari.

Apabila diminta untuk mengenal pasti jenis dan taktik penipuan, kebanyakan responden berjaya melakukannya, dengan purata skor melebihi 60% untuk 11 jenis penipuan.

Ini termasuk modus operandi penipuan popular seperti penipuan melalui telefon dan penipuan perisian hasad. Selain itu,

Menurut Pengerusi ABM, Dato’ Khairussaleh Ramli, evolusi penipuan memberikan cabaran baru kepada bank dan pelanggan kerana penipu sentiasa mengubah taktik manipulasi agar selari dengan trend perbankan atau beli belah semasa.

“Di sebalik cabaran ini, bank terus menunjukkan komitmen yang tak berbelah bahagi dengan mempertingkatkan langkah keselamatan secara kerap di samping melaksanakan kempen kesedaran penipuan nasional untuk melindungi kesejahteraan kewangan pelanggan serta mendidik orang ramai,” tambahnya.

63% daripada responden mempunyai sejarah berkaitan penipuan kewangan, sama ada pernah menjadi mangsa atau mengenali seseorang yang menjadi mangsa.

Ini menunjukkan betapa pentingnya mengambil pendekatan serius terhadap pendidikan penipuan  dan orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak menganggap bahawa mereka tidak akan menjadi sasaran penipu kerana penipuan tidak memilih umur, jantina atau di mana seseorang itu berada. 

Jelas Dato’ Khairussaleh Ramli lagi, bank akan terus melengkapkan pelanggan dengan pengetahuan tentang penipuan dan panduan mengatasinya supaya dapat memupuk komuniti perbankan yang lebih berdaya tahan dan diperkasakan terhadap penipuan.

Laman web perbankan dalam talian dan pemberitahuan semerta pada aplikasi perbankan mudah alih adalah saluran paling berkesan untuk menyampaikan kesedaran tentang penipuan, berbanding SMS, e-mel dan siaran media sosial. 

Penemuan ini membuktikan bahawa dengan lebih ramai pelanggan yang menerima pendigitalan dalam kehidupan seharian mereka dan menjadi semakin selesa untuk membuat aktiviti perbankan secara maya, penggunaan melalui saluran ini telah meningkat menjadikan laman web dan aplikasi perbankan pilihan semula jadi untuk menyampaikan mesej penipuan.

Kalau korang nak tahu, tinjauan ini telah ditauliahkan oleh industri perbankan dan dikendalikan oleh Rakuten Insights, dan disertai oleh lebih 1,200 orang pelanggan bank.

Ia juga telah mengenal pasti bahagian yang berpotensi untuk penambahbaikan bagi bank, terutamanya dalam menyediakan maklumat yang mencukupi kepada segmen pelanggan terpilih yang mungkin tidak mempunyai akses kepada bahan-bahan anti-penipuan, seperti warga emas dan mereka yang kurang arif dengan teknologi.

Kempen kesedaran nasional #JanganKenaScam pupuk kesedaran penipuan kepada orang ramai

Selari dengan matlamat untuk memupuk kesedaran penipuan kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat dan memastikan jangkauan pendidikan penipuan yang meluas di kawasan bandar dan pinggir bandar, satu kempen kesedaran telah dilancarkan iaitu #JanganKenaScam.

Kempen dan pameran #JanganKenaScam ni bertujuan untuk membantu individu memahami bagaimana mereka boleh mengawasi keselamatan kewangan mereka sendiri.

Dengan panduan dan petua praktikal, kempen ini memberi kuasa kepada peserta untuk membuat keputusan termaklum dan lebih bersedia untuk melindungi diri mereka daripada ancaman penipuan yang sentiasa wujud.

Inisiatif ini menjadi tanda usaha kolektif untuk meningkatkan kesedaran penipuan dan daya tahan dalam komuniti, seterusnya memupuk landskap kewangan yang lebih selamat dan terjamin untuk semua.

Lebih menarik, mulai 15 hingga 19 November 2023, orang ramai boleh mengunjungi #JanganKenaScam Fest di Pusat Beli-belah 1 Utama (LG Oval Concourse) untuk mengambil bahagian dalam aktiviti menarik dan latihan simulasi penipuan untuk mengetahui tentang penipuan dengan cara yang menyeronokkan.

Pengunjung yang berjaya melengkapkan semua aktiviti di ruang pameran berpeluang memenangi hadiah eksklusif #JanganKenaScam.

Bukan itu je, pengunjung juga berpeluang untuk menemui artis dan selebriti terkenal tanah air seperti Hairul Azreen, Arwind Kumar, Amelia Henderson dan Ceddy dalam dalam sesi temu mesra khas, yang akan dijadualkan pada hari-hari tertentu.

Untuk maklumat lanjut tentang kempen kesedaran #JanganKenaScam dan tarikh acara #JanganKenaScam Fest akan datang, sila layari www.jangankenascam.com.

 

SKIP THIS AD ×