berita

Dekat Di Hati : Berita TV9 Raikan Ibu Tunggal Di Johor Bahru

January 7th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Pada hari Jumaat (4 Disember) yang lepas, Berita TV9 telah menganjurkan sebuah majlis amal sempena meraikan ibu tunggal. Majlis amal itu khas untuk ibu tunggal kurang berkemampuan yang diadakan di Hotel Granada, di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Berita TV9 dengan kerjasama Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor telah julung kalinya menjadi hos kepada 160 orang ahli keluarga ibu tunggal sejak mula bersiaran pada 1 Januari 2007.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pengarang Kumpulan Berita Televisyen & Radio Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail dan Pengurus Besar Kumpulan Operasi Berita Media Prima Berhad, Sofwan Mahmood. Turut hadir sekali ialah Ketua Pengarang Berita TV9, Datuk Mohd Lokman Hamidi. Manakala, Dewan Muda (DPMM) Negeri Johor pula telah diwakili oleh pengerusinya, Farhan Basheer.

Lokman dalam ucapannya berkata, permasalahan masyarakat, kisah kehidupan, keluh kesah, rintihan masyarakat dan pelbagai isu kemasyarakatan sentiasa menjadi keutamaan Berita TV9 selain berita-berita untuk diteladani penonton setia program berita itu.

“Setapak demi setapak kami melangkah, namun derap langkah kami pantas diatur, apatah lagi, statistik terkini Berita TV9 sudahpun dinobatkan sebagai program berita dengan rating kedua tertinggi ditonton di Malaysia selepas Buletin Utama. Hasrat kami untuk menjadi pemangkin antara masyarakat dan pelbagai pihak termasuk jabatan serta agensi kerajaan bukan omong kosong.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan pencapaian terkini lebih sejuta penonton memilih kami pada waktu perdana jam 8 malam dan ini membuktikan Berita TV9 memiliki ‘niche’ atau kelompok penonton setia,” katanya.

Melalui program ini, ibu tunggal yang diraikan turut menerima pelbagai sumbangan daripada rakan korporat antaranya Banafee Village, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Gelang Patah, Southern Lion Sdn Bhd, MTP Abdul Kadir Sdn Bhd dan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd. Sektor korporat lain yang turut menyumbang ialah Syarikat Extreme Ideas, Kasawari Motors Sdn Bhd, Bumi Restu Creative Sdn Bhd dan Endless Ads Marketing Sdn Bhd.

Menariknya, perantara majlis telah menggabungkan penyampai berita TV9, Norazura Abu Samah dan wakil berita TV9 Johor, Zulhazri Abu Bakar.

Ibu tunggal yang hadir bersama anak-anak mereka telah menerima sumbangan beras, barangan keperluan dapur dan juga kelengkapan sekolah.

OHBULAN! yang turut bersama di majlis ini sempat bertemu dengan ibu tunggal yang menerima sumbangan.

“Akak rasa bangga orang TV9 ingat pada ibu tunggal. Akak sebagai orang biasa rasa sangat bersyukur. Anak-anak pun dapat bantuan. Terima kasihlah pada TV9,” kata salah seorang dari ibu tunggal yang hadir.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dua artis terkenal, Asmidar dan penyanyi remaja, Najwa Latiff.

“Saya rasa berbesar hati kerana diberi peluang bersama-sama dengan ibu tunggal di majlis ini. Sesungguhnya saya dapat merasakan kepayahan yang terpaksa dilalui ibu sekelian. Anda semua adalah wanita gagah,” itu cetusan hati Najwa sebelum memulakan persembahan.

Najwa sendiri sedikit sebak sebelum menyampaikan lagu keduanya apatah lagi dia sendiri bergantung pada ibunya yang juga seorang ibu tunggal.

Berita TV9 boleh ditonton di saluran 119 Astro setiap hari pada jam 12 tengahari (kecuali Jumaat) dan 8 malam dengan wadah terkini dari seluruh negara. Manakala di laman sosial, pelbagai maklumat atau permasalahan boleh disalurkan ke twitter Berita TV9 di @BeritaTV9 atau email [email protected]

Kredit Foto : Ezreen Talip