berita

Dia ‘Terlalu Istimewa’ Buat Kami Semua, Rakan Artis & Menteri Malaysia Terkesan Pemergian Adibah Noor

June 19th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Berita pemergian artis versatil Adibah Noor, bukan sahaja dirasai penggiat seni tanah air dan para peminat, tapi juga dalam kalangan pemimpin negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah menerusi industri lakonan serta pengacaraan.

Hilang sebutir permata negara

Perdana Menteri, meluahkan rasa sedih dan memberi ucapan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

Semoga Allahyaham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham Adibah Noor.

Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara kehilangan sebutir lagi permata.

Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh penghibur yang sangat berbakat dan disenangi ramai, Allahyarham Adibah Noor. Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Ternyata pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang cukup besar dan tiada galang gantinya buat industri seni tanah air. Sesungguhnya karya-karya seni Allahyarham akan terus dikenang dan dingati selamanya oleh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai iaitu Fahmi Fadzil turut mengambil peluang merakamkan ucapan takziah buat keluarga Adibah Noor. Ujar Fahmi, sikap merendah diri dan jangan pernah takut untuk belajar merupakan sikap Adibah Noor yang wajar dicontohi oleh generasi zaman sekarang. Tambah Fahmi, arwah seorang yang tegas dengan pegangan prinsip. Seperti contohnya orang berkata mengenai berat badannya tapi arwah melihat ia dari sudut positif.

Selalu menyokong dan tidak pernah merungut

Pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac menyifatkan Adibah Noor seorang yang ikhlas dan baik hati. Allahyarham juga sering berkongsi mengenai kebaikan orang lain dalam industri seni dan tidak pernah merungut mengenai diri sendiri.

Wanita yang sangat ikhlas dan baik. Bila bekerja, dia selalu menyokong dan tidak pernah merungut. Kadang-kadang keadaan tak sempurna tapi dia relaks saja. Tak perlu bercakap mengenai bakatnya, itu memang tak boleh dipersoalkan. Kita kehilangan insan yang hebat.

Menurut Suki Low yang merupakan rakan seperjuangan arwah dalam program Gegar Vaganza, dia berasa ralat kerana tidak sempat melawat arwah semasa sedang sakit.

Saya ada tanya kalau diizinkan kami mahu melawat dan dia kata boleh apabila dia sudah okay nanti. Tapi saya tak sempat nak berjumpa. Kakak (Adibah) seorang yang sangat membantu, disenangi walaupun dia nampak tegas tapi dia sangat lembut. Dia bagi saya galakan ketika di GV8. Saya masih ingat dia mengatakan walau apa pun yang juri katakan, awak jadi diri sendiri. Saya tak pernah menyangka dia akan meninggalkan kami sebegitu. Dia yang mencadangkan nak buat projek untuk keluarga kami di GV8 sebab dia nak kami terus berhubung. Semuanya tidak akan sama lagi.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×