berita

Fauzi Nawawi Mahu Sharnaaz Bertanggungjawab Jika Kandungan Lisdawati Terjejas

February 24th, 2014 | by Ai
Isu & Kontroversi

Launching-HITHAM-with-fashion-designer-176-630x420

Nampaknya kisah Sharnaaz Ahmad mengamuk masih belum reda hingga ke hari ini. Terbaru, pelakon Lisdawati pula mendakwa dirinya ditengking dan dan diserang oleh pelakon utama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Menerusi video yang dipaparkan di portal Harian Metro, Lisdawati menjelaskan dirinya menggigil ketakutan sebaik dimarahi Sharnaaz tanpa mengetahui mengapa dia diperlakukan sebegitu.

Selepas kejadian tersebut, suami Lisdawati, Fauzi Nawawi mengirim SMS kepada pelakon tersebut bagi mendapatkan penjelasan namun perbualan mereka tidak berjalan dengan baik, malah Fauzi turut diugut oleh Sharnaaz.

Launching-HITHAM-with-fashion-designer-183

Saya ada SMS Sharnaaz kata nak jumpa dan minta penjelasan. Tapi dia balas SMS dengan bahasa berbaur gangster dan ugutan. Saya tak boleh dedahkan semua sebab dah jadi kes polis. Antara salah satu komen dia adalah, “Lu datanglah macam mana pun, gua hadap.”

Risau dengan keselamatan diri dan keluarganya, Fauzi membuat laporan polis beberapa hari kemudian bagi mencari perlindungan.

Kami buat laporan polis bukan untuk cari publisiti, kami dah lama dalam industri, untuk apa lagi cipta kontroversi? Saya cuma mahu melindungi isteri dan anak-anak saya.

Selain daripada itu, Fauzi yang dihubungi OHBULAN! sebentar tadi turut melahirkan rasa kecewanya kerana dengan tindakan panas baran pelakon lelaki itu.

Saya tak tahu apa sebenarnya yang terjadi sampai dia marah sangat isteri saya. Yang saya tahu, Lisdawati call saya menangis-nangis selepas kejadian. Apa yang saya dengar dari saksi, pada mulanya mereka semua bergelak, biasalah bila tersalah dialog, semua orang akan gelak. Tapi entah mengapa Sharnaaz cuma tengking isteri saya.

Sharnaaz-Ahmad2

Untuk pengetahuan anda, perkara itu berlaku pada malam 19 Februari 2014 iaitu hari Rabu. Bagaimanapun, dua hari kemudian Lisdawati sekali lagi berdepan detik cemas apabila Sharnaaz hampir bertindak di luar kawalan sewaktu mereka sama-sama hadir ke lokasi penggambaran Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Saya ada telefon pengarah drama tu, Jamal Khan untuk minta tolong tengok-tengokkan isteri saya. Lisdawati pun minta Lana Nodin teman dia ke lokasi pada 21 Februari kerana risau sekiranya berlaku apa-apa yang tak diingini.

Apabila mereka sampai sahaja di lokasi, Sharnaaz terus halang kereta mereka dan belum sempat Lisdawati keluar, Sharnaaz dah tunggu depan pintu kereta dengan lagak yang bersedia untuk menyerang. Lana kemudiannya telefon saya dan saya arahkan Lana bawa Lisdawati tinggalkan tempat tu. Lana cerita, mereka dengar Sharnaaz menjerit sewaktu mereka berpatah balik.

Saya tak tahu bagaimana pula keadaan isteri saya kalau dia keluar dari kereta. Mungkin Sharnaaz boleh bertindak lebih daripada itu. Suami mana yang tak risau jika isteri dia yang sedang mengandung diperlakukan macam tu?

Menurut Fauzi lagi, selepas berlaku pertengkaran itu dia membawa Lisdawati ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan doktor mengesahkan isterinya itu mengalami tekanan darah tinggi dan terdapat gangguan pada kandungan.

Kalau apa-apa jadi pada isteri saya, saya nak dia bertanggungjawab. Saya tak harapkan dia minta maaf sebab saya tahu dia tak akan buat macam tu. Tapi saya sarankan dia pergi buat rawatan kesihatan. Saya takut dia ada masalah mental yang dia sendiri tak tahu.

Bagaimanapun, Fauzi menegaskan dia tidak akan menyerang Sharnaaz secara peribadi kerana percaya pada undang-undang. Pelakon ini juga menyifatkan kejadian berkenaan merupakan dugaan yang terpaksa dihadapi olehnya dan keluarga sebelum bergerak ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada Jumaat ini.