berita

‘Galau’ Di Kuala Lumpur Bersama Fiersa Besari, Rai Karya 14 Tahun Di Konsert ‘Berjalan Mundur’

July 7th, 2023 | by Alia
Kini Trending

Penulis, pemuzik dan pempengaruh terkenal Indonesia, Fiersa Besari kembali membuat persembahan di Malaysia, kali ini secara solo menerusi Konsert Berjalan Mundur pada 23 Ogos depan di Zepp Kuala Lumpur.

14 tahun berkarya

Fiersa atau mesra disapa Bung menyifatkan kemunculannya di Konsert Berjalan Mundur By Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur ini adalah untuk melunaskan kerinduan peminat di negara ini terhadap karya-karya yang dihasilkannya.

Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya. Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat di Malaysia memberikan inspirasi untuk saya mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan.

Keterujaan peminat membuatkan saya yakin konsert ini bakal menjanjikan pengalaman luar biasa dan bermakna buat semua yang hadir nanti.

Penyanyi berasal dari Bandung ini bakal mempersembahkan 18 lagu antaranya April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu yang menggabungkan genre muzik pop, indie, folk dan alternatif.

Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert itu nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.

Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan

Dalam pada itu, menurut Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putra berkata konsert ini juga adalah permulaan bermakna buat penyanyi berusia 39 tahun itu dalam meraikan 14 tahun perjalanannya sebagai anak seni.

Kemunculan pertama Fiersa di sini, tahun lalu menerima respons yang cukup luar biasa daripada peminat. Fiersa begitu terharu, tambahan pula ia persembahan pertamanya di luar Indonesia.

Justeru, kami memutuskan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi siri konsert ini bagi mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu nyanyian Fiersa.

Tambah Intan, konsert itu juga buat julung kali menyaksikan Fiersa membawakan lagu-lagu daripada lima album yang pernah dihasilkannya di atas sebuah pentas.

Penampilan Fiersa nanti akan diperkemaskan dengan mainan audio visual, sekali gus memberikan kepuasan buat penonton yang sudah lama ternanti-nanti kemunculan terbarunya di pentas yang gah.

Bagi anda yang meminati karya Fiersa, jangan lepaskan peluang ini dengan membeli tiket menerusi pautan ticket2u.com.my. Tiket konsert ini dijual bermula pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk 8 orang).

Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur.

SKIP THIS AD ×