berita

Generasi Muda Digalak Menerapkan Daya Kepimpinan, Elak Bersikap Pasif- Nasihat Tengku Zafrul Di Forum Ekonomi Belia 2022

November 2nd, 2022 | by Azyan
Kini Trending

Tahun ini, Forum Ekonomi Belia (YEF 2022) yang bertemakan ‘Memacu hala tuju positif dalam membina negara dengan tangkas, berdaya tahan dan berimpak’, bertujuan mengajak generasi muda supaya tampil dengan berani untuk menggalas tanggungjawab memimpin, tidak kiralah sama ada mereka berada dalam sektor awam mahupun swasta.

Forum Ekonomi Belia 2022 ini juga berperanan sebagai platform untuk anak muda Malaysia meluahkan pandangan dan berkongsi pendapat atau idea untuk bersama-sama membantu menyuntik perubahan dalam usaha memacu pembangunan negara kita.

“Anda adalah masa depan Malaysia dan negara kita tidak boleh berkembang maju mahupun dapat terus bertahan sekiranya golongan muda terus bersikap pasif dan mengasingkan diri. Saya faham tahun-tahun kebelakangan ini mungkin mengecewakan dan melemahkan semangat kita, tetapi itu adalah cabaran dan kesukaran yang kita perlu hadapi dengan harapan serta keberanian, bukannya berputus asa,” kata Tengku Zafrul

Ramai tokoh pemimpin bermula yang mula dari usia muda

“Sikap mudah mengalah, putus asa dan tidak peduli adalah halangan untuk pembangunan berterusan negara. Anda semua yang berada di sini mempunyai kuasa untuk mengubah nasib komuniti anda, masyarakat anda, negara anda dan malahan juga mengubah dunia.’ ujar beliau lagi. 

Tengku Zafrul juga menasihatkan golongan muda untuk tampil ke hadapan dan lebih menonjolkan diri dengan keazaman dan keinginan yang tinggi supaya dapat terus menyumbang kepada kemajuan negara. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana, Mistika Idris berkata, suara golongan belia penting didengari dalam usaha kerajaan memacu kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara.

“Kadang-kadang anak muda tidak sedar mereka sebenarnya boleh memberi impak kepada perubahan dasar pada masa hadapan.” tambah Mistika.

Pemulihan ekonomi Malaysia di landasan betul,semakin positif

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan bagi tiga suku berturut-turut sejak Suku Keempat (S4) 2021. Pada suku kedua tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.9 peratus.

Kadar pengangguran di Malaysia pada Ogos 2022 berada pada paras 3.7 peratus, kembali menyusut ke paras seperti sebelum pandemik Covid-19. Jumlah penduduk menganggur juga berkurangan dari bulan ke bulan dan ia adalah perkembangan sangat baik untuk pencari kerja.

Unjuran pertumbuhan 2022 Malaysia juga kini disemak semula oleh Bank Dunia yang menaikkannya kepada 6.4 peratus berbanding 5.5 peratus sebelumnya, manakala semakan Tabung Kewangan Antarabangsa pula mengunjurkannya melonjak  kepada 5.4 peratus, naik daripada 5.1 peratus sebelumnya, tambah beliau lagi. 

Kerajaan juga menyemak semula pertumbuhan bagi 2022 dengan mengunjurkan kenaikannya kepada 7 peratus daripada 6.5 peratus dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober  lalu.

Bajet 2023 ambil keperluan belia

Antara cadangan kerajaan bagi memenuhi keperluan belia yang mewakili 28% populasi Malaysia adalah:

  • Peruntukan RM305 juta dalam bentuk pinjaman terutamanya kepada usahawan muda 
  • Lanjutan Skim Tekun Belia Mobilepreneur, yang akan terus membantu belia dalam sektor perkhidmatan jaringan penghantaran barang dengan peruntukan RM10 juta. 
  • Inisiatif ePemula diteruskan dengan peruntukan RM400 juta bagi golongan muda berusia antara 18–20 tahun dan pelajar sepenuh masa.
  • Diskaun sehingga 20 peratus bagi pembayaran kembali pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 

Manfaat lain yang disediakan kerajaan adalah seperti bagi pembelian hartanah untuk usahawan wanita, wanita yang kembali bekerja dan banyak lagi. 

Gunakan hak demokrasi, mandat memilih pemimpin pada 19 November ini

Ekonomi negara yang stabil mampu untuk menarik lebih ramai pelabur luar masuk ke pasaran Malaysia. 

Tema sesi YEF 2022 , iaitu ‘Tangkas, Berdaya Tahan dan Berimpak’ adalah relevan dalam usaha membangunkan negara dan selaras dengan dasar Kementerian Kewangan, iaitu ‘RESPONSIF, BERTANGGUNGJAWAB dan REFORMIS.

Dengan keazaman, pemikiran, idea-idea dan tenaga anda yang membuak, bersama dengan dasar MOF, iaitu RESPONSIF, BERTANGGUNGJAWAB dan REFORMIS, saya pasti proses pembinaan negara kita akan bertambah meningkat. Ia tidak mudah, tetapi kita mesti  teruskan.”

“Proses membina negara dan pembaharuan memerlukan disiplin dan keazaman, dan tidak boleh menjadi tanggungjawab mana-mana satu generasi sahaja. Bangkitlah  dan mainkan peranan anda supaya kita semua mendapat hasil yang diinginkan untuk negara kita,’’

“Perubahan yang kita inginkan mungkin tidak datang hari ini, esok atau pun dalam sepanjang hidup kita, tetapi apa saja yang kita lakukan, ia harus sentiasa dengan semangat, ketabahan, disiplin dan usaha,” ujar Tengku Zafrul 

 

.

 

SKIP THIS AD ×