berita

Harith Paling Bersinar Berbanding Jozan Dan Boboi

October 2nd, 2012 | by Ai
Kini Trending

Komedi merupakan sesuatu yang spontan. Payah sekali bagi sesetengah individu yang memegang status pelawak untuk memberikan persembahan optimum tatkala berada di hadapan ratusan orang ramai.

Namun, Harith Iskander tidak mengecewakan para penontonnya apabila beliau tampil dengan lawak spontan mengenai kisah hidupnya dan fakta tingkah laku seseorang manusia dalam permasalahan yang dihadapi.

Kebijaksanaan dalam pergabungan cerita yang dilakukan beliau sedikit sebanyak mengangkat tinggi nama beliau sebagai pelawak paling otai dengan lawak yang sempurna.

Apa-apa pun, sebagai penonton pasti mereka turut inginkan persembahan memukau daripada Jozan dan Boboi memandangkan mereka acapkali terlibat dengan rancangan lawak.

Jozan tampil kurang menyengat dengan lawak jenaka yang ditonjolkan. Lakonan berunsurkan kisah cinta 3 segi itu kurang mendapat sambutan dengan intipati yang agak membosankan dimana Johan sebagai Nazmi manakala Zizan sebagai Nazman dan watak Nasmidah merupakan lakonan gabungan antara Zizan dan Johan.

Seterusnya, Boboi pula tampil dengan imej kebiasaannya iaitu kanak-kanak dengan mengungkapkan ayat kontroversi mengenai “Talak” yang kian hangat akibat lakonannya di dalam filem “Untuk 3 hari”.

Jalan penceritaan Harun Salim Bachik sebagai Datin Sally yang menemubual hantu iaitu Afdlin Shauki turut mengecewakan penonton apabila intipatinya kosong. Walaubagaimanapun, dendangan lagu dan lirik yang dinyanyikan secara tersendiri memikat hati para penonton.

Menerusi temubual yang dijalankan, Pengarah Lawak Ke Der iaitu Hans Isaac turut mempertahankan pelawak-pelawaknya.

”Komedi merupakan sesuatu yang spontan, ianya amat payah untuk dipersembahkan. Tidak semua lawak jenaka yang dilakukan hari ini, akan menjadi ulangan untuk dilakukan pada hari esok”.

Manakala, Afdlin Shauki turut menyuarakan, “Komedi ini sebenarnya bergantung kepada emosi dan tenaga pelawak tersebut”. Tambah Johan pula, beliau turut menyatakan, “Komedi ibarat perniagaan. Ada untung, ada rugi”.

SKIP THIS AD ×