Kematian anggota Bomba arwah Muhammad Adib masih menjadi tanda tanya dan dalam penyiasatan. Banyak persidangan serta keterangan saksi telah dibuat oleh pihak mahkamah. Terbaru, kecoh apabila peguam yang dilantik kerajaan untuk mewakili pihak bomba mengendali kes kematian arwah Adib ini menarik diri.
Menerusi laporan Malaysia Kini, hal ini membuat seluruh ahli keluarga arwah Adib keliru dengan tindakan peguam tersebut memandangkan kes ini hampir sampai ke pengghujungnya.
Keluarga keliru akan penarikan diri peguam
Menurut Mohd Kamaruzaman A Wahab, peguam yang dilantik sendiri keluarga Adib telah memaklumkan tentang penarikan diri Syazlin Mansor. Selain dari pasukan peguam yang dilantik sendiri keluarga Adib, Syazlin juga merupakan peguam sebagai wakil mereka yang dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewakili kementerian itu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Kita (peguam) sudah beritahu keluarga (Adib), tapi kita pun keliru, apa akan jadi. Ini berita mengejut kepada kami.
Kami nampak ada sesuatu yang terjadi, tapi kami tak tahu. Jadi kami mahu penjelasan kenapa tiba-tiba(keputusan itu dibuat).
Kenapa tiba-tiba? Sebab kes ini dah nak habis dah, tiba-tiba berlaku macam ini.
Kamaruzaman yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada lima peguam yang memberi nasihat kepada keluarga Adib berkata demikian sebagai mengulas penarikan diri Syazlin dari inkues itu hari ini.
Panggil semula saksi terbatal
Dalam memaklumkan penarikan dirinya hari ini, Syazlin memaklumkan Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa ia juga bererti tindakan memanggil semula saksi ke-29 iaitu Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, akan terbatal.
Dr Shahrom sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.
Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.
KPKT ada sumber, kami tak ada
Apabila ditanya sama ada pihaknya akan melantik Dr Shahrom sebagai saksi, Kamaruzaman berkata bahawa mereka tidak mempunyai sumber untuk berbuat demikian.
Kami boleh (lantik Dr Shahrom sebagai saksi), tapi kita tak ada sumber. Kita tak ada duit nak bayar. Saksi pakar ni patutnya ada yang bayar untuk perkhidmatan dia. KPKT ada sumber, kita tak ada.
Bagaimanapun, untuk rekod, Shahrom tidak dibayar untuk memberi keterangan dalam inkues berkenaan. Perkara ini sudah disahkan oleh Syazlin sebelum ini.
Akan teruskan inkues
Kamaruzaman turut menjelaskan bahawa dia tidak akan memanggil Shahrom kerana keterangan Shahrom dalam inkues itu sebelum ini masih diambil kira.
Saya nampak keterangan (saksi ke-24) Dr Ahmad Hafizam tidak begitu kuat. Jadi sebenarnya keperluan tu tak sangat untuk panggil semula (Dr Shahrom).
Hafizam sebelum ini dipanggil semula oleh pegawai pengendali inkues untuk memberi kenyataan lanjut menafikan teori Dr Shahrom. Kamaruzaman menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan inkues itu meskipun dengan penarikan diri Syazlin.
Apapun kita akan teruskan, bagi kita, kita akan terus lawan untuk keluarga Muhammad Adib. Dengan atau tanpa (peguam) bomba.
Sumber: Malaysia Kini