Pelakon, Dr Nazmi Nordin mengakui dirinya masih lagi ‘single’ dan belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang.
Artikel Berkaitan: Nazmi Nordin Belum Puas Timba Pengalaman Hidup & Kerja Di Negara Orang
Tak fikir soal jodoh
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama Oh Bulan! Nazmi memberitahu dia mahu memberi fokus pada diri sendiri, kerjaya dan keluarga terlebih dahulu. Pada masa yang sama, dia mahu mengembara ke seluruh negara sepuas-puasnya memandangkan masih lagi solo.
Dulu saya letak sasaran umur 33 tahun kena kahwin. Tapi sekarang saya dah tak fikir sangat bab sasaran tu. Saya just follow the flow. Kalau ada jodoh, Alhamdulillah kita teruskan. Secara jujur, saya tak pernah menjalin hubungan yang serius sebelum ini.
Cinta monyet selepas SPM itu ada la. Itupun bertahan dua hingga tiga bulan sahaja. Berdasarkan apa yang kawan rapat saya cakap, saya bukan seorang yang romantik, tak pandai nak jiwang-jiwang dan tak pandai nak mengayat perempuan. Sebab itu, perempuan susah nak jatuh hati dengan saya.
Lagi satu mungkin saya dah terbiasa dengan disiplin sejak zaman sekolah iaitu kalau waktu belajar, jangan gatal nak bercinta. Fokus pada pelajaran dan ia terbawa-bawa sampai ke zaman universiti dan sekarang.
Saya ‘family person’. Ada satu masa, saya akan buat semua untuk diri sendiri dan keluarga. Tambah dah duduk berjauhan dengan mereka, setiap kali saya pulang pasti saya akan luangkan masa dengan mereka untuk pergi bercuti. Anak buah saya pun dah ada tiga orang. Masa saya hanya untuk mereka.
Suka wanita yang tinggi
Alang-alang berbicara mengenai cinta, Oh Bulan sempat bertanya kepada Mister Planet Malaysia (MPM) tahun 2015 ini mengenai ciri-ciri wanita idamannya.
Saya tidak mempunyai kriteria yang spesifik untuk wanita idaman. Tapi saya suka tengok wanita yang tinggi lampai, light make-up, happy go-lucky, pandai bawa diri, pembersih dan kemas. Ciri-ciri yang lain lebih kurang sama je macam yang lelaki lain nak.
Karakter atau sisi lain saya yang orang tak tahu pula, saya tak suka menunggu atau buat orang lain menunggu saya.
Disoal pula mengenai hubungan jarak jauh, Nazmi berkata, dia tidak kisah untuk menjalin hubungan jarak jauh andai kata wanita tersebut sudah mempunyai kerjaya hakiki yang stabil di negara kelahirannya sendiri.
Berbicara lebih lanjut, anak kelahiran Perlis ini mengaku pernah menerima direct message yang ‘pelik’ daripada peminat di media sosial.
Di zaman moden globalisasi dunia di hujung jari sekarang, tipulah kalau saya cakap tak pernah dapat dm pelik dari peminat. Tapi mungkin ia tak extreme macam artis lain alami. Remaja sekarang ini semakin berani dan kurang sifat malu untuk tegur kita secara baik.
Bahkan ada yang nak jodohkan saya dengan kakak mahupun adik mereka. Selain itu, ada juga yang sanggup sponsor tiket penerbangan saya untuk balik ke Kuala Lumpur demi meraikan hari ulang kelahiran bersama-sama. Ada juga yang sanggup nak terbang ke Hong Kong semata-mata nak berjumpa dan meluangkan masa dengan saya.
Secara jujur saya sejenis yang suka berkawan. Saya berkawan dengan semua orang tak kisah apapun latar belakang or sejarah orang itu ada. Mana yang baik kita ikut, mana yang buruk kita jadikan teladan. Saya tak suka judge orang dan bersikap skeptikal.
Saya ramai kawan lelaki dan perempuan. Kebanyakannya keluarga saya kenal. Saya akan jemput mereka datang rumah makan-makan. Keluarga saya tahu dengan siapa saya berkawan rapat, dengan siapa saya keluar mahupun melancong bersama. Saya jarang berahsia dengan keluarga.
Di akhir temu bual, Oh Bulan sempat bertanya kepada Nazmi mengenai godaan daripada kaum sejenis. Jelas Nazmi, dia ada menerima dm mahupun komen daripada golongan seperti itu di media sosial. Namun, dia menganggap golongan tersebut sekadar bergurau.
Saya akui ada sahaja lelaki yang dm, komen dan kacau di media sosial. Saya tahu mereka hanya bergurau. Saya tak kisah asal tak menganggu emosi dan memberi kesan kepada rutin harian saya.