berita

Pusat IPR-INTAN Di UPM Bantu Golongan B40 & Miskin Tegar Jana Pendapatan & Peluang Kerjaya

August 2nd, 2023 | by Aimi Raihana Mudzakir
Kini Trending

Setiap orang mengimpikan kerjaya yang baik demi masa depan yang cerah. Ada juga sesetengah yang sudah mempunyai pekerjaan tapi nak jana lebih pendapatan. Sedikit sebanyak boleh bantu diri sendiri dan keluarga.

Baru-baru ni, pada 24 Julai 2023, Kementerian Ekonomi telah bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melancarkan Program Pusat Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).

Pelancaran Program Pusat IPR-INTAN di UPM, fasiliti pertanian moden

Program IPR-INTAN akan berpusat di Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR-INTAN@ UPM di Puchong, Selangor yang berkeluasan 26.3 hektar. Kawasan yang diberi cukup luas!

Sebanyak RM34.75 juta akan dilaburkan oleh Kerajaan yang melibatkan pembangunan infrastruktur tanaman dan penternakan ikan. Fasiliti pertanian dengan teknologi moden diperkenalkan bagi membantu golongan B40 dan miskin tegar untuk menjana pendapatan tambahan dan seterusnya keluar dari garis kemiskinan.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib serta naib canselor UPM Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Peserta yang mengikuti program ni terdiri daripada 40 peratus graduan universiti dan 60 peratus peserta yang berdaftar di pangkalan data IPR dan eKasih.

Peserta dapat latihan pertanian sehingga peroleh pendapatan mampan

Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR-INTAN@UPM menawarkan tempat kepada 130 orang pelatih untuk mengikuti latihan pertanian berasaskan teknologi selama setahun atau setahun setengah. Tumpuan latihan adalah dalam tanaman pertanian dan akuakultur.

“Saya berharap projek ini dapat membantu dalam mentransformasi sektor pertanian Malaysia dengan mencipta ekosistem pertanian yang lebih maju dan berteknologi tinggi serta melalui IPR-INTAN@UPM ini dapat menjadi rujukan utama industri pertanian, baik dari segi inovasi, pengetahuan atau latihan.”

-YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi-

Berbeza dengan projek pertanian lain, semua kelengkapan dan kemudahan seperti infrastruktur pertanian, kolam ikan dan rumah hijau telah disediakan. Malah, Kerajaan turut menyokong para peserta dengan menyediakan modal operasi.

Paling menarik, peserta juga dibimbing untuk memperoleh pendapatan bersih RM2,000 hingga RM2,500 sebulan. Berbaloi juga!

Buka peluang kerjaya dalam industri pertanian

Nampak tak? Sebenarnya Program IPR-INTAN dah buka jalan supaya sektor pertanian lebih maju. Dengan ini, komuniti B40 dan miskin tegar akan dapat peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam sektor pertanian. Bagusnya!

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman juga menyokong inisitif ni yang sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu menjadikan UPM sebagai pusat rujukan pengembangan pertanian tropika iaitu menggembleng pakar pertanian dalam mempergiat aktiviti pengembangan pertanian kepada masyarakat dan komuniti.

Program ini bukan sahaja melahirkan lebih banyak usahawan tani yang berkemampuan, tetapi juga memperbanyakkan penghasilan makanan dalam negara terutamanya dalam sektor tanaman dan akuakultur.”

-Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM-

Siapa sangka? Matlamat jangka panjang Program IPR-INTAN sebenarnya untuk tingkatkan pengeluaran makanan di negara ni. Secara tak langsung, ancaman terhadap keterjaminan makanan juga dapat ditangani.

Peserta Program IPR-INTAN kongsi cerita menarik tentang mereka

Kami juga sempat mendengar cerita menarik daripada peserta yang mengikuti program. Bila dapat tahu Pusat IPR-INTAN dilancarkan di UPM, mereka semakin bersemangat untuk menimba ilmu dalam pertanian.

“Seronok dapat peluang sertai Program IPR-INTAN. Saya nak timba ilmu tentang pertanian untuk jangka masa panjang. Hasil tanaman yang akan meningkatkan pendapatan saya.”

-Irham,31 tahun-

Ada juga peserta yang terbaca perkongsian dari media sosial, membuatkan mereka berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu dan menjadi salah seorang peserta dalam Program IPR-INTAN.

“Saya dapat tahu tentang Program IPR-INTAN ni daripada media sosial. Terasa nak cuba sesuatu yang baharu. Saya nak jadikannya sebagai kerjaya.”

-Alif,25 tahun-

Sokongan daripada syarikat tempatan & antarabangsa

Latihan pertanian dah diberi, tapi macam mana dengan pemasaran dan jualan hasil? Risaunya kalau mengalami kejatuhan harga hasil pertanian. Sebab tu la kena ada mekanisme pemasaran dan jualan. Baru la bersemangat!

Oleh itu, Program IPR-INTAN telah mendapat banyak sokongan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa. Sebanyak 26 rakan kongsi strategik telah menyertai program ni tau.

Rakan kongsi strategik akan menyumbang kepada program merentasi rantaian nilai – daripada menginsuranskan tanaman kepada pemasaran dan pembelian.

Semoga projek Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR-INTAN@UPM akan menjadi pemacu signifikan dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan B40 dan miskin tegar melalui kerjasama antara universiti dan industri pertanian.

Untuk info lebih lanjut tentang IPR, korang boleh klik SINI ya.

SKIP THIS AD ×