berita

Rentas Negeri Nak Jumpa GF, Lelaki Cuba ‘Lari’ Elak Ditahan Sebelum Disahkan Positif Dadah

April 15th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Astro Awani

Tindakan seorang lelaki merentas negeri hanya kerana mahu berjumpa kekasih hati akhirnya membawa padah apabila dia diberkas selepas dikejar polis di Jalan Persiaran Utama, Seremban, Negeri Sembilan.

Rentas negeri jumpa kekasih

Foto: Sinar Harian

Memetik laporan Sinar Harian, lelaki berusia 29 tahun itu telah memulakan perjalanannya dari Melaka ke Seremban hanya kerana mahu berjumpa kekasihnya di negeri tersebut. Bahkan, lelaki ini juga selamba bertindak sedemikian walaupun dia tidak mempunyai permit dan dokumen pergerakan yang sah untuk merentas negeri.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, perbuatan itu hanya disedari oleh kereta peronda polis selepas terserempak dengan pasangan ini yang menaiki kenderaan jenis Hyundai berwarna hitam dalam keadaan yang mencurigakan.

Kereta terbabas, suspek positif dadah

Sekadar gambar hiasan

Anggota polis kemudian mengarahkan lelaki tersebut untuk memberhentikan kereta tetapi sebaliknya pula yang terjadi apabila suspek terus memecut kenderaannya. Berikutan daripada itu, anggota polis meminta bantuan tiga lagi kereta peronda untuk mengejar suspek.

Ketika cuba melarikan diri, pemandu itu turut melanggar lampu merah, membuat pusingan U tanpa kebenaran dan melanggar cermin sisi sebuah kereta lain. Kenderaannya akhirnya terbabas dan berjaya ditahan di Jalan Persiaran Utama S2/1 di sini.

Berdasarkan ujian air kencing, lelaki terbabit disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan telah direman. Manakala teman wanitanya yang berusia 21 tahun direman sehari untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 342 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×