berita

Tak Menunjukkan Simptom Virus, Gadis Kongsi Pengalaman Positif Covid-19

March 21st, 2020 | by Shira
Kini Trending

Di Amerika, seorang gadis yang dikenali dengan nama Julia Buscaglia ada berkongsi tentang pengalamannya yang dijangkiti wabak Covid-19. Apa yang lebih mengejutkan apabila gadis ini telah menjalani 2 kali pemeriksaan dan hasilnya negatif tetapi pemeriksaan kali ketiga menunjukkan dia adalah positif Covid-19.

Pengalaman positif Covid-19

Julia yang merupakan seorang gadis berusia 20 tahun itu memberitahu bahawa dia adalah salah seorang pesakit positif Covid-19. Menurut gadis ini, tujuannya berkongsi pengalaman dan simptom yang dialaminya adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

Ingatkan demam biasa

Menceritakan kisah itu, Julia memberitahu pada 29 Februari 2020 yang lalu dia telah bangun dari tidur dalam keadaan yang kesakitan. Kepalanya berat, telinga berdenyut dan tekaknya seakan-akan seperti terbakar. Lebih teruk apabila tubuh badannya mula sakit dan dia mengalami demam panas yang mencecah  100.2 °F (39 darjah celcius).

Pada keesokan hari, keadaan gadis ini dikatakan beransur pulih tetapi dia begitu bimbang dengan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 di Itali. Dia kemudian nekad pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan doktor memberitahu Julia hanya mengalami demam. Tetapi lain pula yang jadinya apabila deria pendengaran di telinga kirinya mengalami gangguan menyebabkan dia sukar untuk mendengar. Gadis ini langsung tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya dia menganggap itu hanyalah perkara biasa.

Keadaan kesihatan semakin teruk

Pada 2 Mac 2020, deria pendengaran kedua-dua belah telinganya semakin berkurang. Tambah Julia lagi, dia boleh merasakan kahak di bahagian belakang tekaknya dan sekali lagi dia menganggap situasi ini berlaku kerana dia demam.

3 Mac 2020 merupakan hari terakhir Julia di Itali dan pada ketika ini keadaannya bertambah teruk dimana dia kehilangan deria rasa dan bau sedangkan dia langsung tidak mengalami batuk dan selesema. Julia yang mengalami pening kepala kemudian telah pulang ke negaranya, Amerika.

Kuarantin diri

Menurut Julia, setibanya dia di Amerika tidak ada seorang pun yang bertanya tentang keberadaannya sebelum ini termasuklah kastam sedangkan dia baru sahaja pulang dari negara yang mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Tambahnya lagi dia sudah berjalan-jalan di banyak bandar-bandar besar. Sejak 5 Mac 2020 hingga 13 Mac 2020, dia telah kuarantin diri dan sepanjang itu dia hanya berhubung dengan 2 individu sahaja. Ketika itu, dirinya langsung tidak menunjukkan simptom-simptom Covid-19 dan keadaan kesihatannya telah kembali pulih seperti sediakala.

2 kali pemeriksaan adalah negatif

Pada 13 Mac 2020, ahli keluarga gadis ini yang bekerja di bahagian kesihatan telah memintanya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan walaupun pada awalnya dia enggan kerana sebelum ini dia sudah disahkan negatif Covid-19.

Tetapi keesokan harinya selepas membuat pemeriksaan, dia amat terkejut apabila mendapati dirinya kini sudah dijangkiti wabak Covid-19 sedangkan sepanjang tempoh kuarantin iaitu 5 Mac hingga 13 Mac dia telah melakukan dua kali pemeriksaan. Hasil kedua-dua pemeriksaan menunjukkan dia adalah negatif Covid-19.

Jaga kesihatan diri

Julia memberitahu dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh dijangkiti sedangkan dia langsung tidak mengalami simptom virus tersebut. Sementara itu, Julia turut menasihati orang ramai agar menjaga kesihatan dan sentiasa berada di dalam rumah.

Dia juga berharap agar mereka yang dijangkiti wabak ini akan diberi kesembuhan dengan segera. Tegas Julia, walaupun diri anda tidak menunjukkan sebarang simptom, ini tidak bermakna anda tidak berisiko untuk dijangkiti.

Sumber: Julia Buscaglia