berita

“Teman Pengganti” Menang Persembahan Terbaik AJL 27 Kerana Populariti?

January 8th, 2013 | by Ai
Isu & Kontroversi

Selesai sudah majlis anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu 27 (AJL) yang hanya menandingkan 12 buah lagu terbaik setiap tahun. Umum tahu, anugerah ini diwujudkan demi mengiktiraf lagu-lagu terbaik tahunan, dan 3 dari 12 buah lagu akan dipilih oleh juri profesional sebagai lagu terbaik.

Untuk edisi ke 27, lagu berjudul ‘Terukir Di Bintang’ yang dicipta sepenuhnya oleh Yunalis Zarai telah berjaya merangkul trofi ‘Anugerah Juara Lagu’ walaupun dia telah menarik diri disaat akhir. Namun begitu, Yuna telah memilih bekas pemenang anugerah ‘Persembahan Terbaik’ (AJL edisi ke-24) iaitu Aizat Amdan sebagai pengganti untuk menyampaikan lagu ‘Terukir Di Bintang’ yang tetap dipertandingkan.

Disebalik kehangatan anugerah ini serta keputusan yang dianggap memuaskan hati oleh semua pihak, timbul pula persoalan tentang kemenangan lagu ‘Teman Pengganti’ untuk anugerah ‘Persembahan Terbaik’. Menurut seorang pengkritik, kejayaan lagu dendangan Black & RJ ciptaan Malique menggondol anugerah ‘Persembahan Terbaik’ adalah disebabkan populariti lagu tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan, lagu ‘Teman Pengganti’ adalah sebuah lagu yang sangat hebat dan mempunyai keunikan tersendiri. Maksud liriknya yang tersirat serta melodinya juga telah berjaya memikat hati majoriti peminat tempatan. Tipulah jika lagu ini berputar di corong radio, kita tak akan menyanyi bersama. Paling tidak pun, pasti akan bersiul mengikut melodi, kan?

Namun, jika dilihat pada tema kali ini iaitu ‘Ekspresi Seni’, maksudnya sendiri menggambarkan tentang unsur-unsur seni serta ekspresi dan kekreatifan didalam lagu yang dipertandingkan. Tema ini sememangnya menguji para peserta menyanyi dan mempersembahkan lagu mereka di pentas akhir AJL dengan menggunakan tema ‘Ekspresi Seni’ sebagai sumber inspirasi sepenuhnya.

Disebabkan itu, keputusan 100 peratus melalui undian peminat untuk trofi ‘Persembahan Terbaik’ adalah satu keputusan yang sedikit bercanggah dengan cara penjurian sepatutnya. Para peserta seharusnya diadili berdasarkan melodi, lirik serta kombinasi idea dan persembahan mereka untuk merebut anugerah ‘Persembahan Terbaik’.

Anda sendiri pun tahu, perkara biasa yang akan terjadi jika pemenang dipilih 100 peratus melalui undian peminat, keputusan pasti akan lebih memihak kepada lagu yang lebih popular. Mungkin peserta lain mampu memberikan sesuatu yang lebih baik, namun atas faktor kekurangan populariti, persembahan hanyalah sekadar persembahan.

Melalui laman Twitter, peminat meramalkan trofi ‘Persembahan Terbaik’ mungkin akan dimenangi oleh Lan & The Typewriter menerusi lagu ‘Idola’ ciptaan Audi Mok. Namun begitu, konsep ‘dark psychedelic circus’ yang unik dan kreatif dari mereka telah tenggelam dibawah populariti lagu ‘Teman Pengganti’.

Selain dari itu, persembahan Amir Jahari dengan lagu ciptaannya sendiri iaitu ‘Tanpamu’ juga telah menarik perhatian beberapa orang pengkritik industri. Amir Jahari telah mengaplikasikan teknik ‘reverse portraiture’ ciptaan Alexa Meade yang sangat unik kedalam persembahannya.

Dan ya, Amir Jahari masih lagi kurang popular dikalangan peminat-peminat tempatan walaupun lagunya sering dimainkan di radio-radio popular tempatan. Faktor populariti menjadi punca ‘Tanpamu’ gagal meraih undian penonton.

Walau bagaimanapun, Anugerah Juara Lagu edisi ke-27 tetap berjaya memikat hati para penonton di seluruh Malaysia dengan mutu penganjuran yang sentiasa bertambah baik serta pemilihan tema yang mencabar untuk para peserta, iaitu ‘Ekpresi Seni’. Pemilihan tema ini memang sesuai dengan Anugerah Juara Lagu yang menilai dan mengiktiraf lagu-lagu terbaik setiap tahun sejak julung kali diadakan pada tahun 1986.

Apa pun, tahniah pada Black & RJ kerana tetap mencuri hati penonton dengan persembahan lagu ‘Teman Pengganti’  yang menarik sehingga berjaya memenangi anugerah ‘Persembahan Terbaik’ di Anugerah Juara Lagu ke 27.