berita

‘8 Tahun Siapkan Tesis’ – Genggam PHD Pada Umur 55 Tahun, Wanita Terharu Penuhi Hasrat Arwah Ayah

December 4th, 2018 | by Arini Saleh
Kini Trending

Meskipun ayah sudah tiada di dunia, Dr Rossilawaty Sheriff tetap menunaikan impian arwah yang mahu melihatnya belajar sehingga ke peringkat tertinggi.

Beliau yang baru sahaja mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Majlis Konvokesyen Ke-42 Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini meluahkan rasa terharu dan syukur.

Tujukan kejayaan buat arwah ayah

Menerusi perkongsian di Berita Harian, beliau memberitahu kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah kerana dorongan insan terpenting dalam hidupnya iaitu arwah ayah.

Saya tujukan kejayaan ini buat Allahyarham ayahanda saya, Haji Sheriff Hassim insan penting di sebalik kejayaan ini. Semasa hayatnya masih ada, arwah ayah pernah berpesan kepada saya untuk belajar ke peringkat yang tertinggi. Ketika itu saya baharu memiliki Ijazah Sarjana Muda.

Saya pun tak pasti mengapa amanah ini dikhususkan kepada saya dan tidak kepada adik-beradik yang lain. Saya ingat lagi kata-katanya, ilmu itu sangat penting, dengan ilmu akan merubah nasib kita.

Orang tidak akan memandang rendah kepada yang mempunyai ilmu. Belajarlah hingga peringkat yang tertinggi.

Walaupun sangat terharu dengan pencapaian ini, beliau turut berasa sedih kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan ini bersama arwah.

Sukar untuk digambarkan perasaan ini dengan kata-kata, saya sangat bersyukur atas kurniaan ini. Saya ‘puas’ kerana sudah mengharungi segala cabaran dengan usaha sendiri.

Saya menitiskan air mata gembira kerana impian ayah saya terlaksana dan berasa sedih kerana ayah saya, Allahyarham Haji Sheriff tidak dapat menyaksikan saya di pentas konvokesyen untuk meraikan kejayaan ini. Sekiranya beliau masih ada, pastinya beliau akan bangga dengan pencapaian anaknya ini.

Amanat ayah saya itu sebenarnya telah saya panjangkan juga kepada anak-anak saya untuk belajar ke peringkat tertinggi. Ada antara mereka yang sedang berusaha ke arah itu.

Mudah-mudahan niat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi dipermudahkan segala urusan yang berkaitan.

Ambil masa 8 tahun

Menceritakan pengalaman dan cabaran ditempuhi sepanjang pengajian, beliau mengambil masa 8 tahun untuk menyiapkan tesis mengenai “Pengaruh Penerimaan Pesanan Khidmat Awam Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Hubungan antara Penglibatan Ego dan Kesannya Terhadap Penunggang Motosikal”.

Satu tempoh yang sangat lama pada pendapat saya dan rugilah kalau saya tidak dapat menyiapkannya. Dari anak bongsu saya bersekolah rendah sehinggalah telah memasuki universiti ketika ini.

Keluarga saya adalah pendorong dan kekuatan saya untuk mendapatkan Ijazah PhD ini. Tanpa sokongan mereka saya mungkin tidak sampai ke tahap ini. Anak-anak saya sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk saya capai apa yang diimpikan.

Saya juga tujukan kepada ibu saya, Hajah Che Wah Mohamed Shah yang sentiasa mendoakan saya. Solat hajat untuk saya tanpa henti.

Mereka tahu saya tidak akan mengalah dan berputus asa. Putus asa tidak ada dalam kamus hidup saya. Seronoknya bila kami dapat belajar bersama-sama. Anak-anak saya juga turut membantu mengedarkan borang soal selidik ketika saya mula menjalankan penyelidikan untuk tesis saya.

Anak-anak rasa turut bersyukur atas kejayaan saya dan menjadikan saya idola mereka dan berharap satu hari nanti mereka juga akan naik pentas menerima Ijazah yang sama. Saya pula akan menjadi penonton menyaksikan kejayaan anak-anak di pentas konvokesyen mereka. Insya-Allah.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Pentadbiran Am, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengikuti pengajian secara separuh masa itu mengakui pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi memandangkan bekerja sambil.

Selepas habis kerja, saya harus memberikan perhatian pula kepada pembelajaran anak-anak dari Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan di institusi pengajian tinggi.

Selepas tugas urusan rumah tangga, pada lewat malam baharulah saya membuat kerja-kerja pengajian PhD saya. Saya juga terpaksa korbankan masa cuti hujung minggu dan cuti umum untuk mengurus masa menyiapkan tesis kajian saya.

Cuti rehat tahunan saya juga saya manfaatkan untuk urusan tesis selain memperuntukkan sekurang-kurangnya sekali setahun untuk percutian keluarga. Cabaran demi cabaran dihadapi antaranya saya terpaksa bertukar penyelia tesis sebanyak tiga kali kerana yang pertama, pengerusi penyelia saya, Allahyarham Profesor Dr. Musa bin Abu Hassan kembali ke rahmatullah sebelum sempat saya menghabiskan tesis.

Seterusnya penamaan semula penyelia disebabkan persaraan dan perpindahan penyelia ke luar negara. Bertukar penyelia juga menyebabkan tesis saya dirombak dari segi kaedah kajian beberapa kali.

Cabaran menyediakan bayaran yuran pengajian juga sesuatu yang mencabar kerana bukan sedikit wang yang harus dibelanjakan untuk mengikuti pengajian PhD. Mujurlah saya ditawarkan jawatan sebagai pensyarah sambilan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) Pusat Kuala Lumpur untuk program Ijazah Sarjana Muda mod pengajian jarak jauh sejak dari mula memulakan pengajian hingga sekarang.

Saya mencabar diri adakah saya boleh melakukannya atau akan terhenti separuh jalan sahaja? Secara peribadi, saya dapat menarik nafas lega dapat merealisasikan harapan ayahanda saya. Selain itu, ia dapat menambah koleksi sijil akademik yang saya peroleh.

Saya juga ingin melihat anak-anak mengikut jejak langkah saya dan berjaya dalam bidang masing-masing sebagaimana ibu mereka.

Tambahnya lagi, usia bukanlah penghalang jika diri benar-benar ingin berjaya. Seeloknya anda hendaklah memasang angan-angan daripada sekarang dan berusaha dengan gigih.

Sumber : Berita Harian

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×