berita

Vaneesa Reynauld Kena Ejek Dari Kecil Sebab Rambut Afro, Terus Kuat Demi Abang ‘Istimewa’ – ‘Saya Berjanji Untuk Memberikan Mereka Kehidupan Yang Selesa’

January 20th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Dah tahun 2022, masih ada individu yang galak mengutuk dan mengkritik fizikal seseorang. Penyanyi yang sedang mencipta nama, Vanessa Reynauld juga antara yang menjadi mangsa ‘body shaming.’

Artikel Berkaitan: Mimi Lana Kongsi Video Bersenam, Warganet Suruh Henti ‘Body Shaming’ – ‘Work Out Bukan Untuk Nak Nampak Kurus’

Kena ejek sebab rambut afro

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Vanessa mendedahkan dia diejek dan dibuli sejak kecil lagi kerana memiliki rambut afro. Bagaimanapun, kata Vanessa, dia sudah mampu untuk mengawal situasi ‘body shaming’ dengan tenang.

Saya tak selalu berkongsi mengenai perkara ini, tetapi orang selalu nampak saya senyum dan yakin atas pentas. Sebenarnya ada sisi kehidupan yang orang tak tahu.

Semenjak kecil lagi saya selalu kena ejek sampai pernah rasa takut dan trauma pergi sekolah! Ada yang samakan saya dengan suku kaum dan etnik tertentu hanya kerana rambut afro semulajadi saya yang cantik ni.

Hey, kalau pergi salun nak buat rambut macam ni mahal tau! Walau bagaimanapun, saya berjaya menghadapi perkara itu.

Walaupun saya masih lagi terima kecaman tentang penampilan, ia tidak seburuk dahulu kerana saya dah pandai untuk mengendalikannya.

Tak akan lemah sebab komen negatif

Tambah pelantun lagu Rindu Separuh Nyawa itu, sumber kekuatan yang membuatkan dia teguh berdiri sekarang adalah abangnya, Christopher yang menghidap Sindrom Down.

Luah peserta program The Masked Singer Malaysia musim pertama, dia ingin menjadi seorang penyanyi yang disegani supaya dia dapat membahagiakan abang tercinta dan keluarga.

Dari program Ceria Popstar sehingga ke pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 36, walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir, perjalanan ini sangat panjang dan mencabar.

Walaupun saya pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, tetapi memang susah nak dapatkan penghargaan orang ramai. Tapi tak mengapa, saya tak pernah kecewa kerana ini apa yang saya impikan. Saya takkan biar komen negatif melemahkan saya.

Saya kuat kerana keluarga. Saya berjanji untuk memberikan mereka kehidupan yang selesa, terutamanya kepada abang saya, Christopher. Abang saya insan istimewa, dia menghidap sindrom down. Dia memang bergantung harap kepada orang lain jadi sayalah yang menjaganya setiap hari, memberi dia makan dan mandikan dia.

Christopher adalah cinta sejati kami sekeluarga. Dia buat saya rasa sempurna. Sasaran saya setiap tahun adalah untuk menjadi penyanyi yang disegani, jadi satu hari nanti sata boleh sediakan keperluan abang saya.

Walau apa halangan yang saya harus hadapi, saya tak pernah menyerah kalah kerana dialah sumber keyakinan dan kesempurnaan saya.

Selain itu, gadis berdarah kacukan India dan Cina itu turut meluahkan rasa teruja kerana wajahnya dipilih untuk dipaparkan di papan iklan digital terkemuka New York Times Square, Amerika Syarikat bersempena kempen Equal-Spotify.

Dalam perkembangan lain, Vanessa bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Buat Ku Sempurna pada 28 Januari ini.

Single yang diterbitkan oleh Adib Hussin ini dicipta oleh Faizal Tahir bersama Mage dan ia merupakan dedikasi khas Vanessa untuk abangnya, Christopher.

Sumber: Instagram @vanessareynauld

SKIP THIS AD ×