Baru-baru ini viral satu video di media sosial memaparkan seorang rider penghantar makanan telah ditampar dan dikasari oleh seorang lelaki di sebuah kafe yang terletak di Kota Damansara, Selangor. Isu ini secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Rider kena tampar
Menerusi video berdurasi 0:57 saat itu memaparkan pergaduhan yang berlaku di antara penghantar makanan dan pemilik kafe berkenaan. Pada awalnya kelihatan penghantar makanan terbabit sedang bertelingkah dengan beberapa pekerja di restoran tersebut. Lebih mengejutkan apabila seorang lelaki berbaju hitam secara tiba-tiba telah bertindak kasar dengan menampar penghantar makanan tersebut. Walaupun begitu, rider berkenaan dilihat masih bersabar dan tidak membalas perbuatan lelaki itu. Pergaduhan tersebut akhirnya berjaya dileraikan oleh orang ramai dan pekerja restoran terbabit.
Terbaru, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood memaklumkan bahawa pihak mereka sudah menerima laporan tentang kejadian. Difahamkan, kejadian tersebut berpunca disebabkan perselisihan faham membabitkan kelewatan menguruskan penghantaran makanan sehingga pelanggan membatalkan pesanan.
Mangsa mendakwa ditampar di leher kiri oleh pemilik kafe tersebut. Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis kerana video rakaman mengenai kejadian itu tular di media sosial.
Tambahnya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian