berita

5 Tahun Berkahwin Masih Belum Hamil, Wanita Ini Kongsi Perjalanan Rawatan Kesuburan

November 13th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Tidak dinafikan, memiliki zuriat merupakan impian setiap pasangan yang berkahwin. Kehadiran cahaya mata boleh mengeratkan lagi kasih sayang dan penjadi penyeri rumahtangga. Namun, bukan semua orang diberi rezeki seawal tahun pertama berkahwin.

Seperti perkongsian Emelyne Bani Jam di Facebook, tahun ini genaplah lima tahun perkahwinan dia dan suami. Melihat rakan-rakan mempunyai anak, sedikit sebanyak terdetik di hati mengenai zuriat sendiri.

‘Bila lagi nak ada anak?’

Sementara keluarga lain semakin berkembang dengan kehadiran anak, mereka masih lagi berdua dan saling menyokong antara satu sama lain. Pada tahun pertama perkahwinan, mereka sibuk dengan kerja dan percaya kepada rezeki anak.

Namun tahun demi tahun berlalu mereka masih berdua dan rakan-rakan galak berkongsi mengenai kehidupan baru bersama anak yang semakin membesar. Mereka masih lagi berfikiran positif sehinggalah ada yang bertanya, ‘bila lagi nak ada anak?’.

Dapatkan nasihat kesihatan tahun ketiga berkahwin

Tahun ketiga berkahwin, mereka membuat keputusan untuk menjalani ujian kesihatan. Mereka tiada penyakit, tidak merokok dan tidak minum arak. Tiada masalah pada keputusan ujian. Pada waktu yang sama, suami mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat master. Jadi mereka berhubungan jarak jauh dan hanya berjumpa setiap 2 minggu sekali.

Alat ujian kesuburan dan ujian kehamilan pada waktu itu seolah-olah rakan baiknya. Emelyne juga bertekad menukar jabatan kepada bahagian yang kurang sibuk dalam usaha mendapatkan anak. Tetapi, masih tiada rezeki mereka.

Jadi, mereka melakukan ujian kesihatan sekali lagi untuk mengenal pasti sebarang masalah. Namun, keputusannya masih sama. Mereka sihat dan tiada masalah.

Berteman air mata dan hati yang remuk

Dengan bermacam-macam rawatan yang dilakukan, hanya Tuhan yang tahu betapa remuknya hati mereka. Walaubagaimanapun itu tidak sedikitpun mematahkan semangat malah kasih sayang semakin kuat. Dan usaha terakhir mereka adalah IVF. IVF bukanlah semudah yang disangka, IVF bukanlah sekadar proses pencantuman benih dan menunggu ‘berita baik’ disampaikan.

Untuk melakukan rawatan itu, mereka hendaklah bersedia dari segi mental dan fizikal. Mereka berusaha mendapatkan nasihat daripada pakar sepanjang rawatan dijalankan.

Gagal ujian IVF

Selepas rawatan IVF, dia perlu tunggu 2 minggu untuk keputusan dan sayangnya dia tidak berjaya hamil. Sekali lagi, dia menangis sekuat hati. Dia mengambil sekurang-kurangnya satu hati untuk terima kenyataan. Dimana silapnya? Hanya Tuhan yang tahu apa yang terbaik.

Walaubagaimanapun, perkara ini mengajar dirinya menjadi lebih kuat. Kepada mereka yang melalui jalan yang sama, kuatlah. Cuba dapatkan rawatan pakar dan jangan malu. Dia sendiri merupakan seorang doktor dan pesakit, dia sedikitpun tidak malu untuk berkongsi perjalanan ini.

Malah, dia turut menasihati orang lain supaya elakkan dari bertanya seseorang bila mahu mengandung kerana soalan itu sangat menyakitkan. Kepada yang masih berusaha, dia mencadangkan mereka untuk mendapatkan pertolongan dari pakar. Dia sendiri akan mencuba sekali lagi apabila kesihatan kembali pulih.

Sumber : Emelyne Bani Jam

The following two tabs change content below.