berita

Disebalik Kemasyhuran Nama P. Ramlee, Ada 5 Filem Tidak Dapat Ditayangkan Sebab…

August 15th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee merupakan seorang pengarah filem yang dikenali di Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pada sekitar era 1950an dahulu. Nama P. Ramlee mula dikenali dalam penglibatan lakonan dan arahan sulungnya menerusi filem Penarek Becha (1955).

Sepanjang karier P. Ramlee, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan lebih 400 buah lagu dihasilkan olehnya. Namun, tahukah anda terdapat beberapa buah filem arahan beliau, tidak dapat ditayangkan di kaca televisyen disebabkan…

5 filem tidak ditayangkan

Kredit foto: Repair Gambar Lama

Terdapat beberapa perihal yang anda perlu tahu bahawa terdapat lima buah filem arahan dan lakonan P. Ramlee tidak dapat dipertontonkan di TV pada era moden ini. Antara filem yang dimaksudkan ialah Sitora Harimau Jadian (1964), Melanchong Ka-Tokyo (1964), Bakti (1950), Sabarudin Tukang Kasut (1966) dan Gelora (1970).

1. Sitora Harimau Jadian (1964)

Kredit foto: Repair Gambar Lama

Sitora Harimau Jadian arahan P. Ramlee ini diterbitkan pada tahun 1964. Filem genre drama dan seram ini terinspirasi daripada filem Werewolf of London (1935). Idea membuat filem ini tercetus selepas P. Ramlee melawat studio Merdeka yang terletak di sebelah Zoo Negara.

P. Ramlee berkata: “Studio pula dalam kandang zoo. Silap-silap harimau terlepas, habis dingapnya! Kalau buat gambar si ‘tora’ memang bagus”. Tora bermaksud ‘harimau’ dalam bahasa Jepun.

Mengisahkan penduduk Kampung Kiambang dicengkam oleh perasaan takut yang amat sangat kerana keganasan Sitora Harimau Jadian yang semakin menjadi-jadi. Sudah banyak orang yang menjadi mangsanya. Dr. Effendi yang datang untuk menolong orang kampung di situ pun akhirnya kena sumpah dan menjadi Anak Sitora.

Sitora Harimau Jadian dipercayai mempunyai unsur tahyul yang keterlaluan. Salinan filem ini juga dipercayai telah lenyap tanpa sebarang jejak.

2. Melanchong Ka-Tokyo (1964)

Kredit foto: Repair Gambar Lama

Melanchong Ka-Tokyo diterbitkan pada tahun 1964 yang merupakan sebuah arahan Ramon A. Estella. Penggambaran filem ini telah dijalankan di Singapura dan Jepun. Filem ini merupakan terbitan filem yang pertama menjalankan penggambaran di Jepun.

Filem ini tidak diarahkan atau dilakonan P. Ramlee, namun beliau bersama Ahmad Daud dan Saloma merupakan penyanyi undangan yang ditampilkan di dalam filem ini.

Melanchong Ka-Tokyo mengisahkan seorang wanita (Rosnah) dari Malaysia yang memenangi satu peraduan dengan ganjaran melancong ke Jepun. Semua perbelanjaan ditanggung oleh pihak penganjur. Kisah ini memperlihatkan konflik perhubungan Rosnah bersama Kunio (jejaka Jepun) dan Darus.

Mastercopy filem Melanchong Ka-Tokyo dipercayai telah musnah dalam satu peristiwa banjir di studio Jalan Ampas pada tahun 1966.

3. Bakti (1950)

Kredit foto: Repair Gambar Lama

Filem Bakti diterbitkan pada tahun 1950 merupakan arahan L. Krishnan dilakonan oleh P. Ramlee dan Kasma Booty. Beliau memegang watak sebagai Nasir dan nama Nasir juga diberikan kepada nama anak sulungnya yang dilahirkan pad atahun 1953.

Kisah anak angkat seorang budak miskin yang bernama Nasir (lakonan P. Ramlee) telah dijaga oleh Saadiyah dan Orang Kaya Ibrahim. Manakala watak Hassan merupakan anak lelaki kepada Ibrahim yang memberi kepada Nasir. Mereka sering bergaduh sehingga masing-masing menyembunyikan cinta hati mereka dari diketahui.

Salinan penuh untuk filem Bakti ini juga dipercayai sudah pun hilang dan gagal ditemui.

4. Sabarudin Tukang Kasut (1966)

Kredit foto: Repair Gambar Lama

Sabarudin Tukang Kasut (1966) merupakan filem arahan dan lakonan P. Ramlee sendiri. Kisah mengenai watak Sabarudin yang bekerja sebagai tukang kasut dan mempunyai isteri yang bermain kayu tiga, berlaku curang dibelakangnya. Filem ini berkonsepkan kisah ‘1001 Malam’ dan bercorak komedi. Ia mengandungi banyak sindiran tajam kepada pemerintah. Namun ia boleh dijadikan iktibar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di muka bumi ini.

Salinan filem Sabarudin Tukang Kasut pula berada dalam kualiti yang agak rendah. Tahap audio dan visualnya sangat menyedihkan. Dalam VCD originalnya tertulis “Keadaan Gambar dan Suara Kurang Memuaskan. Harap Maaf”.

5. Gelora (1970)

Kredit foto: Repair Gambar Lama

Manakala filem Gelora (1970) lakonan P. Ramlee dan Sarimah juga tidak ditayangkan atas faktor seksual. Filem ini agak kontroversi kerana memaparkan babak-babak intim yang hanya sesuai ditonton oleh penonton dewasa.

Filem ini mengisahkan konflik hubungan kekeluargaan dan jalinan cinta. Filem hitam putih ini memaparkan agenda seks antara Sarimah (watak bekas isteri kepada P. Ramlee) dan Arman Yadi (kekasih kepada anak perempuan Sarimah).

Filem Gelora mengandungi unsur seks yang hanya sesuai ditonton oleh penonton dewasa. Jadi tidak hairanlah sekiranya filem ini tidak keluar di kaca TV.

Sumber: Repair Gambar Lama

SKIP THIS AD ×