berita

Vape Dan Rokok Sama? Apa Pendapat Korang?

March 1st, 2022 | by Aimi Raihana Mudzakir
Kini Trending

Nak berhenti merokok bukan senang kerana tabiat merokok ni berkait rapat dengan emosi dan jiwa. Kalau ada antara korang yang menyimpan azam baru tahun ni untuk berhenti merokok, usaha ini patut dipuji. Orang sekeliling pun kenalah berikan sokongan kepada mereka. Barulah bersemangat nak berhenti!

Kementerian Kesihatan (KKM) juga mensasarkan pengurangan jumlah perokok di Malaysia sebanyak 15 peratus menjelang tahun 2025. Penguatkuasaan terhadap kegiatan merokok perlu dibuat agar kesihatan diri lebih terjaga. Bukan untuk diri sendiri, malah orang sekeliling juga.

Antara alternatif untuk berhenti merokok yang agak popular sekarang adalah dengan menggunakan vape. . Sudah ada negara lain yang menyaran perokok menggunakan vape untuk berhenti merokok. Tapi apakah itu vape dan adakah vape tu sama seperti rokok?

Vape dan rokok adalah dua benda yang berbeza

Penggunaan vape juga dikenali sebagai ‘vaping’ dan secara umum ia juga dikenali sebagai e-rokok walaupun ia tidak ada tembakau. Vape adalah alat peranti elektronik yang berfungsi dengan memanaskan cecair yang biasanya mengandungi nikotin dan perasa dan hasilnya ialah wap dan bukannya asap. Itu adalah perbezaan yang paling ketara antara vape dan rokok.

Disebabkan ia tak membakar seperti rokok, vape tak dedahkan pengguna kepada bahan kimia sama seperti asap rokok yang menyebabkan penyakit kepada perokok. Terdapat di antara penjual vape setuju dengan perkara ni.

Vape dan rokok. Mana lagi memudaratkan?

Ada yang kata vape lebih mudarat daripada rokok. Ada juga yang kata rokok lebih mudarat daripada vape.

Satu benda yang tak boleh dipertikaikan ialah kedua-duanya pun ada risiko kesihatan walaupun fakta buat masa ini menunjukkan vape kurang mudarat berbanding rokok.

Walaupun agensi kesihatan di luar negara sudah akui yang vape itu adalah 95% kurang mudarat berbanding rokok, ini tidak bermakna vape tidak ada risikonya sendiri.

Ada juga kajian lain yang menunjukkan vape yang mendatangkan keburukan kepada pengguna terutamanya dalam segi kesihatan.

“Vape bukannya tak ada risiko. Cuma, vape tak ada asap manakala rokok ada asap yang busuk dan menyebabkan penyakit. Kesannya, rokok lebih memudaratkan berbanding vape.”

– Chris Anthony –

Kalau tanya doktor, jawapan yang diberikan pasti akan kata jangan guna vape tak kira sama ada vape tu kurang mudarat atau tidak.

Boleh tak perokok berhenti merokok dengan vape

Walaupun ramai yang menyangkal perkara ini, kajian oleh Cochrane berkaitan vape menunjukkan vape ada potensi membantu perokok untuk berhenti merokok. Cochrane telah mengkaji lebih daripada 50 kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, United Kingdom (UK), Itali, Australia, New Zealand, Greece, Belgium Kanada, Poland, Korea Selatan, Afrika Selatan, Switzerland dan Turki.

Hasilnya, mereka mendapati vape mungkin menjadi penyelesaian yang dicari oleh perokok kerana vape yang mengandungi nikotin mungkin membantu orang berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan. Ia mungkin berfungsi lebih baik daripada terapi gantian nikotin lain dan vape bebas nikotin.

Kajian ini membuatkan ramai penjual vape berkongsikan pengalaman. Kebanyakan pelanggan mereka telah berjaya berhenti daripada merokok setelah menggunakan vape.

“Saya mendidik perokok untuk berhenti merokok dengan menggunakan vape sebagai alternatif. Ada di antara mereka yang mula dengan beralih daripada rokok kepada vape dan akhirnya berhenti menggunakan vape.”

– Rudy MV –

Peranan nikotin dalam vape

Nikotin ini sebenarnya adalah sebatian organik dalam daun tembakau. Ia juga ada dalam tomato, kentang pada kadar yang rendah.

Nikotin ini menyebabkan ketagihan dan itu sebabnya perokok tidak dapat berhenti merokok.

Bila vape ada nikotin, ia juga boleh menyebabkan ketagihan. Kalau vape tak ada nikotin, barangkali perokok pun takkan beralih kepada vape untuk berhenti merokok.

Jadi kadar nikotin dalam vape tu agak penting untuk perokok beralih dan berhenti merokok. Kalau terlampau rendah, perokok tak dapat terima dan tak beralih kepada vape. Fakta ini pun sudah diiktiraf di agensi kesihatan luar negara.

“Pengambilan kadar nikotin bergantung pada pengguna. Kekuatan nikotin pada setiap pengguna berbeza. Kebanyakan mereka memilih sukatan 50mg. Kalau kadar nikotin tu tak cukup, kemungkinan besar mereka beralih semula kepada tabiat merokok mereka.”

– Adrian Lo –

Perlu tak peraturan untuk vape dan rokok dibezakan?

Apabila benda baru seperti vape dilihat sebagai alternatif kepada perokok, sewajarnya undang-undang untuk vape di Malaysia juga perlu diperkenalkan oleh kerajaan.

Semua sedia maklum kedua-dua vape dan rokok pun ada risikonya. Cuma vape tu berkemungkinan ada potensi digunakan perokok untuk berhenti merokok. Jadi peraturan tu kenalah ada beza sikit supaya dapat menggalakkan perokok untuk menukar kepada vape yang kurang memudaratkan daripada rokok.

Kesimpulannya, peraturan tu kena cari titik yang seimbang supaya ia tak membuatkan kanak-kanak atau bukan perokok menggunakan produk itu dan pada masa yang sama membolehkan perokok bertukar kepada produk ini untuk berhenti merokok.

Contohnya, kandungan nikotin yang dibenarkan dalam cecair mestilah mengikut pasaran yang sedia ada dan pada sukatan yang membolehkan perokok berhenti merokok..

Peraturan mestilah mengawal aktiviti penjualan, pengiklanan dan promosi supaya produk tak terjual kepada kanak-kanak dan bukan perokok. Pada masa yang sama, produk kenalah ada piawaiannya supaya ia tak ada campuran bahan terlarang.

Apa-apa pun, produk vape tak bebaskan pengguna daripada risiko. Lebih bagus kalau golongan perokok boleh berhenti merokok tanpa sebarang bantuan.

SKIP THIS AD ×