berita

Bayi Nazak Gara-Gara Ibu Ambil Dadah Semasa Hamil, 8 Tahun Kemudian..

July 20th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Dikenali kerana sering berkongsi kisah pengajaran kepada umum, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan baru-baru ini imbau kejadian cemas yang berlaku 8 tahun lalu. Pada waktu itu, dia menjaga seorang bayi di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU).

Ibu kepada bayi tersebut merupakan seorang penagih dadah yang membawa gangguan kepada tumbesarannya. Tambahan pula dia dilahirkan tidak cukup bulan.

Mak ambil macam-macam jenis dadah

Sekadar gambar hiasan

Pada suatu malam, 8 tahun lepas, aku berada di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU). Seorang diri, menjaga seorang pesakit. Wad itu besar, tapi di ruangan kubikel itu hanya ada kami berdua. Salah satu pesakit tu adalah seorang bayi perempuan yang sepatutnya belum patut lahir lagi sehingga beberapa minggu depannya (minggu ke-37). Pendek kata, dia lahir tak cukup bulan. Sangat kecil tubuhnya.

Masa tu dah jam 1 pagi. Aku berdiri di sebelah kot bayi tu. Aku lihat badan kecilnya bergetar-getar kerana bernafas dengan bantuan HFOV, sejenis mesin ni hasilkan getaran udara yang berayun untuk bantu pernafasan. Di bawah cahaya pemanas(warmer), kulit bayi tu berbelak-belak(mottled). Bercapuk antara warna ungu, merah, dan kuning pucat. Tangan dan kakinya terkulai, seperti ototnya lumpuh.

“Tak patut mak kau buat kau macam ni, dik,” bisik aku pada bayi itu.

Semasa hamilkan bayi ni, si emak ada ambil bermacam-macam dadah rekreasi: morfin, syabu, dll. Jadi, tumbesaran bayi ni banyak terganggu. Lahir pun tak cukup bulan. Lebih malang lagi, lepas bersalin, si emak menghilangkan diri. Lari dari hospital. Tengah aku mengelamun, tak semena-mena penggera pada mesin bantuan pernafasan berbunyi. Itu tandanya ada sesuatu tak kena pada pesakit. Aku jadi gelabah. Pada masa tu aku masih HO, dan pediatrik ni posting pertama aku. Cepat-cepat aku telefon MO.

Bacaan dah tak cantik

Sekadar gambar hiasan

“Kamarul, kau tengok setting ventilator tu. Make sure…” MO aku beri arahan, tapi arahan tu semua masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Satu patah pun aku tak reti pasal aturan mesin bantuan pernafasan tu.

“Woi, Kamarul! Awak faham tak apa saya beritahu ni?” soal MO aku.

“Tak,” jawab aku jujur.

“OK. Telefon MA technician HPOV, suruh dia check. Saya tengah attend kes di ED(Emergency Department) ni,” balas MO itu.

Tanpa berlengah lagi, aku terus telefon MA berkenaan. Namun, MA tu sedang sibuk di NICU. Katanya tengah stabilkan bayi di sana yang juga sedang gunakan ventilator. Dia kata, dia akan ke HDU selepas selesai urusan di NICU. Aku letak gagang telefon. Jantung aku berdegup laju. Terasa seperti keadaan tak berpihak kepada bayi ini. Ada sahaja halangan. Emaknya tinggalkan dia, HO (aku) yang jaga dia tak kompeten, MO dan MA yang bertugas pula sedang sibuk urusan pesakit lain.

Seolah-olah dunia sudah tak mahukannya lagi. Aku kembali ke sisi pesakit tu. Aku lihat paparan mesin pemantau tanda vital. Semua bacaan dah tak cantik. Kulit bayi tu pun dah lebih banyak ungu daripada merah. Malah jari-jari dia dah kebiruan.

Keajaiban berlaku

Sekadar gambar hiasan

Aku cuba minta bantuan dari staff yang ada di HDU tu, namun semua tak berani nak pandai-pandai ubah apa-apa setting memandangkan ia melibatkan ventilasi bayi. Jika pesakit dewasa mereka beranilah.

“Hello, Dr Sarah(bukan nama sebenar)” akhirnya aku telefon doktor pakar yang bertugas malam tu. Biasanya HO tak telefon pakar, tapi apa pilihan lain yang aku ada?

Tenang sahaja pakar tu berikan arahan. Pertama, dia suruh aku tenang. Kedua, tunggu dia datang. Itu sahaja arahan dia. Ringkas, tapi Tuhan sahaja yang tahu bertapa lega hati aku. Aku jangka dia akan marah kerana terus telefon dia, rupanya tidak. Dalam 5 minit selepas aku tamatkan panggilan telefon, pakar tu pun sampai ke HDU. Terus dia uruskan pesakit tu. Sambil dia set semula mesin ventilasi tu, dia berkata sesuatu pada aku sambil geleng kepala.

“Jika bayi ni hidup sampai esok pagi, itu adalah keajaiban.”

Ternyata keajaibanlah yang berlaku. Malah lebih daripada ajaib. Ia adalah kebesaran Tuhan yang tidak sesiapa boleh sangkal. Baru-baru ni, seorang kanak-kanak datang ke klinik aku, ditemani oleh emaknya. Budaknya ceria dan petah. Selepas selesai aku periksa kanak-kanak itu, si emaknya merenung saya. Kemudian dia keluarkan telefon bimbit dan me dail.

Telefon bimbit saya berdering.

“Doktor ingat saya tak?” tanya si emak. Mula-mula aku tak ingat. Hanya setelah si emak menceritakan tentang peristiwa 8 tahun lalu, aku dapat cam siapa mereka berdua.

Setiap hari doktor mesej padahal..

Sekadar gambar hiasan

“Saya masih ingat doktor! Setiap hari doktor mesej saya perkembangan anak saya. Padahal, saya tak balas pun mesej doktor,” kata si emak.

Bila malam tu dah bertukar siang. Aku telefon si emak (dapat nombor dari fail pendaftaran) entah berapa puluh kali. Aku telefon guna nombor hospital, tak berjawab. Aku telefon guna nombor peribadi aku, tak berjawab. Akhirnya aku mesej. Sehinggalah suatu hari tu, si emak muncul di hospital. Sebenarnya aku tak mesej setiap hari pun. Hanya mesej bila ada perkembangan positif pada anaknya. Mungkin ada 4-5 mesej sahaja yang aku hantar. Tak pasti kenapa dia ingat aku mesej setiap hari.

Apapun, sangat aku tak sangka dia masih simpan nombor telefon aku. Dia tunjuk telefonnya, nombor aku disimpan sebagai “Doktor Kiriman Tuhan”. Bersalah pula rasanya. Kalaulah dia tahu, pada malam tu betapa tak kompeten aku ni, mungkin dia tak simpan nama aku seperti itu.

Malam tu, yang stabilkan kondisi anak dia adalah MO, MA dan pakar yang aku panggil. Semua akhirnya datang. Aku pula duduk tepi, lihat mereka buat kerja. Kerdil rasanya diri ni. Nama sahaja doktor, tapi tak tahu nak buat apa. Tak lama lepas tu, aku habis posting peads. Sempat aku buat bacaan lanjut tentang aturan mesin HPOV sebelum tamat posting paeds tu. Ketika tamat posting paeds, bayi tu masih di NICU, dan aku tak ikuti perkembangannya.

Emak dah berhenti guna dadah

Sekadar gambar hiasan

Tak tahu apa jadi, sehinggalah baru-baru ini. Si emak dah berhenti salah guna dadah. Sekarang dah ada kerja tetap. Si anak dah sekolah. Sebak pula dada bila dapat tahu hal ni. Pernah juga rasa penat jadi doktor, tapi bila dapat tahu setiap usaha yang dilakukan, walaupun sekecil kiriman mesej, mampu mengubah hidup seseorang, terus bersemangat semula nak terus berkhidmat pada masyarakat.

“Nama saya Kamarul, boleh tukarlah nama dalam telefon tu,” kata aku dengan penuh rasa rendah diri sebelum anak beranak itu keluar dari bilik konsultasi. Tak sangka, bayi yang lemah longlai tu membesar jadi kanak-kanak yang sihat.

Dalam hidup ini, setiap usaha kita ada nilainya. Sesuatu yang nampak kecil pada kita, tapi kadang-kadang besar impaknya pada orang lain. Jadi, jangan pernah putus asa. Buat yang terbaik.

Yang benar,
Kamarul Ariffin Nor Sadan
Manusia Kerdil

Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×