berita

‘Kanser Bukan Pengakhirannya Mati’ – Ini Kisah Inspirasi ‘Fighter’ & ‘Survivor’ Sempena Hari Kanser Sedunia

February 4th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari dengan tujuan mengajak orang ramai untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser. Kalau korang nak tahu, kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif yang tinggi kepada pesakit, keluarga dan negara. Mana taknya, ia merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia.

Sempena Hari Kanser Sedunia, kami dari team OHBULAN! berpeluang untuk temubual dua orang pesakit kanser limfoma di mana salah seorang daripada mereka telah berjaya melawan penyakit tersebut. Semoga perkongsian ini juga, sedikit sebanyak memberi kekuatan buat korang yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Jom baca!

Terkejut macam tak percaya

Foto: Puan Yana semasa melakukan kimoterapi

Menerusi temubual OHBULAN! bersama Puan Yana, wanita ini memberitahu bahawa dia mengalami batuk yang sangat teruk selama dua minggu meskipun sudah mengambil ubat di farmasi dan klinik. Memandangkan ubat yang diberi tidak berkesan, Yana mengambil keputusan untuk membuat x-ray di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Sewaktu didiagnos pada 7 Januari yang lalu, Yana mendapat tahu bahawa dia mempunyai tumor dan sel kanser. Oleh itu, dia segera ke sebuah lagi hospital untuk membuat PET scan dan pemeriksaan sel tulang sumsum. Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, Yana mendapat keputusan bahawa dia menghidap kanser limfoma stage 2 (a). Doktor juga memberi saranan buatnya untuk melakukan kimoterapi yang pertama pada keesokan harinya.

Terkejut macam tak percaya saya hidap kanser. Sebab dalam sejarah keluarga saya memang tiada siapa pun yang menghidap kanser. Suami saya orang yang paling down waktu itu. Tapi saya kata dekat dia jangan sedih sebab nanti saya lagi sedih. So, saya memang tak tunjuk kesedihan yang dilalui dekat orang lain. So, semua tak nampak kesedihan tersebut.

Disoal mengenai reaksi diri sendiri dan keluarga sewaktu mendapat tahu berita tersebut, Yana memberitahu mereka semua sangat terkejut. Tambahnya, doktor memaklumkan bahawa dia perlu melakukan kimoterapi sebanyak 6 cycle. Maknanya, dia perlu melakukan 12 kali kimoterapi dalam tempoh enam bulan ini. Bercerita pula mengenai saat pertama kali menjalani kimoterapi, Yana memberitahu dia mengalami beberapa kesan sampingan seperti penat, sakit mulut dan kulit mengelupas di bahagian hujung jari. Jelas Yana lagi, hampir lima hari kesan itu bertindak balas di badannya.

Elak makan daging merah

Saya tak boleh buat kerja sangat sebab cepat rasa letih. Saya akan buat kimoterapi yang kedua esok memandangkan badan masih okay lagi. Dari segi makanan, saya memang tak boleh sentuh daging merah. Ulam-ulaman pun tak boleh. Makanan fast-food pun kena berpada-pada kalau boleh jangan sentuh langsung lagi bagus.

Disoal mengenai makanan, Yana memberitahu dia hanya boleh makan makanan yang sudah dimasak sahaja. Tambahnya, doktor turut membekalkan ubat kepadanya. Ubat tahan muntah merupakan salah satu daripadanya. Yana turut meluahkan rasa terharu kerana suami dan seluruh ahli keluarganya memberikan sokongan dari segi mental dan kewangan. Bahkan, mereka mencari pelbagai alternatif buat dirinya sepanjang tempoh disahkan menghidap kanser.

Sebagai pesakit yang baru didiagnos kanser, Yana turut memberi beberapa pesanan buat mereka yang mengalami nasib yang sama dengannya. Antara pesanan yang diberikan olehnya ialah kuatkan semangat demi orang disekeliling dan percaya bahawa setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti mempunyai hikmah. Sokongan orang disekeliling sangat membantu buat mereka yang sedang berjuang melawan kanser ini.

Mak sangat supportive dan cool

Saya mula sakit pada bulan November/Desember 2010 dan saya didiagnos menghidap kanser limfoma stage 2 (b) pada 4 April 2011. Saya mula kimoterapi pada 15 April 2011. Antara tanda awal yang saya alami ialah, berat badan saya turun secara mendadak, peluh waktu malam, batuk berdarah dan berkahak, sesak nafas, gatal badan dan kelenjar menjadi bengkak di clavicle kanan.

Menerusi temubual yang kedua bersama seorang kanser ‘survivor’ yang dikenali sebagai Dr.Mukhlis, beliau memberitahu bahawa reaksi keluarganya sangat tenang semasa mereka dapat tahu bahawa dia menghidap kanser. Tambah beliau, emaknya seorang yang sangat supportive dan cool manakala, arwah ayahnya pula sangat memahami dan supportive. Ujar beliau lagi, sepanjang menjalani kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), ibu saudaranya yang menetap di Puchong akan singgah melawat dan membantunya memandangkan pada masa tersebut ibunya menetap di Pulau Pinang.

Berehat sebab kimoterapi teruk dan kerap, mustahil nak kerja badan jadi lemah. So, berehat untuk elakkan sakit disebabkan infection di hospital. Lagipun chemo punya side effects macam living hell. Muntah, loya, sakit badan, panas badan macam tiga kali demam panas tapi hakikatnya badan tak demam pun. Di samping itu, rasa sakit kepala,  tekak berdarah, kulit kering, badan jadi hitam, rambut jadi botak sehingga satu tahap garu mata pun berdarah sebab platelet turun jadi 8 masa tu. Buang air kecil pun sakit sangat.

Bercerita mengenai kimoterapi, Dr. Mukhlis memberitahu bahawa beliau sudah menjalani sebanyak 19 kali kimoterapi dan sekali ‘autologous stem cell transplant’.  Sepanjang menjalani proses tersebut, beliau hanya berehat sahaja. Ini kerana, keadaan badan beliau pada masa tersebut sangat lemah.

Akhirnya kanser hilang

Alhamdulillah in 2013 buat PET scan di Hospital Putrajaya, result came back kanser hilang. Itupun setelah banyak kali buat PET scan last-last hilang juga kanser yang degil ni. First time saya nangis sebab happy cancer clear. Time sakit tak menangis.

Pada tahun 2013, Dr.Mukhlis memberitahu bahawa beliau sudah bebas daripada penyakit kanser. Namun begitu, dia perlu melakukan follow-up sebanyak enam bulan sekali. Ini kerana, doktor masih perlu memantau blood testnya. Jelasnya lagi, setakat ini tiada sebarang komplikasi dan kandungan darahnya semua cantik.

Buat pesakit kanser yang sedang berjuang, Dr. Mukhlis memberi pesanan bahawa ‘sakit itu pengalaman yang kuatkan kita, ibarat ulat jadi kepompong lepastu akan jadi rama rama yang cantik terbang bebas’. Oleh itu, kekalkan positif vibes sebab penawar ada pada ‘Dia’.

Sumber: Nur Syazanna Saifor Anuar & Dr. Mukhlis

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×