Sebelum ini, timbul pelbagai persoalan dan pendapat mengenai kempen kibar bendera putih dalam kalangan penduduk di Malaysia. Berikutan daripada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan dua situasi utama yang perlu dilihat oleh semua pihak berhubung isu kibar bendera putih yang dilaksanakan di negara ini, sejak beberapa hari yang lalu.
Artikel berkaitan: Mufti WP Beri Penjelasan Hukum Kibar Bendera Putih Minta Bantuan
Artikel berkaitan:Didakwa Seru ‘Masyarakat Angkat Tangan Berdoa, Bukan Angkat Bendera Putih’, Ini Respon Netizen
Menerusi laporan Harian Metro, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi oleh rakyat bagi menagih bantuan.
Tidak wajar
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor, tindakan mengibar bendera putih dianggap sebagai tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi. Tambah beliau, sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan adalah dilarang khususnya buat umat Islam.
Masih banyak cara lain bagi mendapat bantuan dalam mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh pandemik ini. Selain bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan dan negeri, terdapat juga daripada badan dan agensi tertentu seperti Pusat Pengurusan Zakat negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta selain sumbangan individu.
Ujar beliau lagi, individu yang mudah mengalah dan berputus asa ini didakwa seolah menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT.
Usaha intensif dan agresif ditingkatkan
Wakil rakyat di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara golongan memerlukan dengan pihak yang memberi bantuan. Kemungkinan mereka ini tidak tahu cara atau kaedah bagi memohon bantuan daripada pihak berkaitan.
Berbicara lebih lanjut, Wan Salim menyeru supaya usaha intensif dan agresif perlu ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib bagi membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan terjejas ini. Manakala, syarikat GLC dan swasta juga diseru supaya menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan memberi sumbangan yang lumayan buat mereka yang terjejas.
Sumber: Harian Metro