Dengan kepesatan dunia yang semakin membangun dan ditambah pula kemajuan teknologi untuk memudahkan kehidupan, tidak dinafikan bahawa ada golongan yang belum merasai perubahan ini.
Mungkin ada yang terlupa golongan luar bandar terutamanya masyarakat orang asli masih kurang bernasib baik berbanding kehidupan kebanyakan penduduk lain di Malaysia.
Menyedari hakikat itu, Maybank cuba menutupi jurang dan bertindak membantu golongan ini menerusi sebuah inisiatif korporat dikenali sebagai Projek H.E.A.R.T.
Untuk pengetahuan anda, projek ini bertujuan untuk membaik pulih kehidupan komuniti luar bandar di seluruh Asia seperti Kampung Chuweh di Perak, Pensiangan di Sabah dan banyak lagi.
Antara usaha yang telah dilakukan oleh Maybank adalah menyediakan 100 mentol lampu solar kepada masyarakat orang asli di Tasik Banding bagi memberi mereka kehidupan yang lebih selesa.
Menurut Ketua Projek H.E.A.R.T dan Ketua Pegawai Pemasaran Maybank, Adam Wee, kebanyakan komuniti luar bandar tidak dibekalkan dengan tenaga elektrik dan hanya bergantung kepada lampu kerosin atau generator diesel untuk mendapatkan bekalan cahaya di malam hari.
Berbanding penggunaan kerosin dan diesel, mentol lampu solar lebih bermanfaat kerana ia mampu mewujudkan persekitaran yang bersih dan berupaya mengembangkan ekonomi masyarakat luar bandar.
Salah seorang penduduk di Kampung Chewah berpendapat keluarganya kini mampu menambah pendapatan hidup dengan melakukan aktiviti menjahit pada waktu malam menggunakan lampu berkenaan. Manakala aktiviti lebih produktif seperti bercucuk tanam dan menangkap ikan boleh dilakukan di siang hari.
Tidak hanya menumpukan kebajikan masyarakat tempatan, Maybank juga telah membuat penghantaran mentol lampu solar kepada komuniti pertanian di Filipina yang terjejas oleh taufan Hayan.
Projek H.E.A.R.T menjadi platform yang membolehkan manusia seluruh Asia untuk berganding bahu dan membantu golongan yang memerlukan. Pelanggan kami dan orang ramai boleh menyertai program ini dengan menghulurkan sumbangan ataupun sekadar menyebarkan berita mengenai ini menerusi laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Google+ – Adam
Bagi yang berminat untuk menyumbang, anda boleh membuat transaksi wang ke akaun Project H.E.A.R.T (Nombor akaun: 564016-613170).
Anda juga digalakkan untuk melayari www.maybankprojectheart.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini. Sementara itu jom tonton video Projek H.E.A.R.T yang telah berjaya diadakan di Kampung Chuweh di bawah ini.