Selalu kita dengar kanak-kanak dan bayi paling mudah jatuh sakit, lagi-lagi bila ada penularan wabak atau penyakit mudah berjangkit.
Pasti ibubapa akan terus ambil langkah berjaga-jaga agar anak mereka dapat dilindungi, tapi sejauh manakah korang mampu lakukan demi menjamin kesihatan mereka?
Risiko penyakit pada kanak-kanak & bayi
Terbaru tren kes Pertussis (batuk kokol) dilaporkan meningkat, ia berpunca daripada bakteria Bordella Pertussis yang mudah tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.
Ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja namun kanak-kanak tanpa imunisasi adalah berisiko mengalami simptom paling teruk sekiranya dijangkiti.
Antara gejala utama adalah batuk yang berpanjangan sehingga dua bulan, yang mana berkemungkinan menyebabkan pesakit menjadi kebiruan ekoran tidak sempat bernafas seterusnya menyebakan sawan.
Lebih parah lagi ia juga boleh menyebakan keradangan paru-paru dan otak sehingga terjadinya kematian.
Sehingga 19 Ogos 2023, sebanyak 329 kes telah direkodkan dengan 23 kematian dan 189 kes (57.4%) adalah bayi di bawah umur 12 bulan¹.
Oleh itu ibu bapa digesa agar memastikan anak-anak mereka mendapatkan vaksin secara rutin pada usia 2,3,5 dan 18 bulan.
Imunisasi maternal langkah tepat untuk selamatkan bayi
Cukup ke vaksin secara rutin untuk bayi? Haa.. Sebenarnya dari saat mengandung lagi para ibu dah boleh mula dapatkan vaksin seperti Tdap 3-dalam-1 yang diluluskan untuk ibu hamil.
Imunisasi maternal ini dianggap sebagai penyelesaian yang paling berkesan kerana pendekatan ini telah pun diamalkan secara meluas di banyak negara maju dan terbukti berkesan mencegah penyakit serta menyelamatkan nyawa².
Kelebihan imunisasi semasa mengandung:
- Meningkatkan imuniti ibu dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan.
- Antibodi yang dibangunkan dalam badan ibu diturunkan kepada bayi melalui plasenta sekaligus memberikan perlindungan ketika kelahiran sehingga bayi tersebut menerima vaksin mereka sendiri.
Pakar sokong inisiatif pemberian Tdap secara percuma
Perunding Perubatan Fetomaternal, Jabatan Obstetrik & Ginekologi dari Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Prof Dr Jamiyah Hassan berkata para ibu di Malaysia ketinggalan untuk mengambil vaksin ini berikutan kurangnya kesedaran, keraguan vaksin dan kebimbangan tentang kemampuan.
Bagaimanapun, kini Kementerian Kesihatan telah menjalankan inisiatif pemberian vaksin Tdap secara percuma kepada ibu hamil.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan menyifatkan bahawa inisiatif baharu ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta, bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun3.
Mengikut perancangan semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara akan diberikan satu dos vaksin Tap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (diantara 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara3.
Beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat mengekalkan momentum dalam memperkukuh strategi imunisasi para ibu demi masa depan yang lebih sihat untuk anak bangsa.
¹ Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
² Giles ML, Krishnaswamy S, Wallace EM. Maternal immunisation: What have been the gains? Where are the gaps? What does the future hold?. F1000Res. 2018;7:F1000 Faculty Rev-1733. Published 2018 Nov 1. doi:10.12688/f1000research.15475.1.