Saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam baru sahaja melabuhkan tirainya sebentar tadi.
Sebanyak 29 lagu yang berentap sepanjang tiga hari saingan dijalankan namun hanya 12 lagu yang layak ke saingan Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38).
Artikel Berkaitan: #SFMM38: Aina Abdul Menang Besar! ‘Jangan Mati Rasa Itu’ Diumumkan Lagu Terbaik & Lagu Pilihan Penaja
Artikel Berkaitan: #SFMM38: Sufian Suhaimi Sedih – ‘Saya Nak Maklumkan Lagu Budi Tidak Akan Bertanding’
12 lagu ke AJL38
Antara lagu yang layak terdiri daripada Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Astana (Ernie Zakri) dan Darah (Marsha Milan)
Sementara itu, turut mara ke final AJL 38 adalah Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain) serta Sutera (Aisha Retno).
Kemunculan sekali lagi penyanyi Aina Abdul, Ernie Zakri dan Marsha Milan tentunya membuatkan para peminat tidak sabar untuk melihat siapakah yang bakal membawa pulang trofi Vokal Terbaik.
Selain itu, turut menggegarkan pentas final AJL 38 dengan kemunculan semula penyanyi terkenal Ziana Zain selepas kali terakhir tampil di pentas berprestij itu 12 tahun lalu.
Ziana berjaya menempa tiket ke AJL 38 menerusi lagu ‘Waktu’ duet bersama Hasif Upin.
Saingan kali ini tentunya akan memberikan pengalaman paling bermakna buat penyanyi meningkat naik iaitu Aisha Retno selepas lagu ‘Sutera’ ciptaannya bersama MFMF berjaya mara selepas pertama kali berentap di peringkat saringan ke AJL.
Keputusan ini sekaligus menunjukkan 17 lagi lagu tidak layak meneruskan saingan ke pentas paling berprestij AJL38.
Untuk makluman, pada hari pertama saingan SFMM38, lagu Jangan Mati Rasa itu telah diumumkan sebagai Lagu Terbaik & Lagu Pilihan Alha Alfa
Manakala lagu Sutera nyanyian Aisha Retno diumumkan sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Pilihan Alha Alfa diberikan kepada lagu Astana nyanyian Ernie Zakri pada hari kedua saingan.
Tuah turut berpihak kepada lagu Santai nyanyian asal Faizal Tahir yang dinyanyikan Naqiu apabila diumumkan sebagai Lagu Pilihan Alha Alfa pada hari ketiga saingan SFMM 38.
Kesemua lagu yang berjaya mara telah diadili oleh barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail LY, Datuk Wah Idris, Cat Farish, Helen Yap dan Azmeer.
Untuk makluman, AJL 38 dijadualkan bakal berlangsung di dewan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac 2024.
Senarai lagu
Berikut OhBulan! senaraikan lagu-lagu yang berjaya menawan hati juri dan laya ke saingan AJL38.
1. Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
2. Bintang (Hael Husaini)
3. Sutera (Aisha Retno)
4. Hasrat (Amir Jahari)
5. Inilah Jalannya (Kugiran Masdo)
6. Darah (Marsha Milan)
7. Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain)
8. Astana (Ernie Zakri)
9. Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah)
10. Kalam (Shiha Zikir)
11. Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali)
12. Santai (Faizal Tahir)
SFMM 38 bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut dari 15 Disember 2023 hingga 17 Disember 2023, pukul 3.00 petang dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.