berita

Sorok Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk, Hukuman Penjara 6 Tahun Pengasuh Adam Rayqal Kekal

November 12th, 2021 | by Shahira
Isu & Kontroversi

Sekitar tahun 2018 yang lalu, negara Malaysia dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang dipercayai didera oleh pengasuhnya.

Artikel Berkaitan: Pengasuh Adam Rayqal Mengaku Tidak Bersalah

Dijatuhi hukuman 6 tahun penjara

Terbaru, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh, Noor Aqilah Abd Rahman. Keputusan tersebut dilakukan selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan pendakwaan menarik balik rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas tertuduh.

Peguam yang mewakili Noor Aqilah memaklumkan panel itu bahawa anak guamnya berhasrat menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan kedua-dua pihak dan Noor Aqilah diperintah menjalani hukuman penjara itu mulai 14 Februari 2019.

Sorok mayat bayi dalam peti sejuk

Terdahulu, tertuduh yang berusia 36 tahun itu telah menganiaya Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif pada 3 Julai 2018 sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya. Mayat bayi malang itu kemudian ditemui di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sewa tertuduh yang terletak di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves.

Hasil daripada bedah siasat mendapati punca kematian bayi Adam Rayqal akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dan kesan retak di bahagian tempurung. Berikutan daripada insiden terbabit, tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah. Wanita tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Keputusan mahkamah

Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan denda RM5,000 terhadap Noor Aqilah yang mengaku telah mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Wanita itu turut diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda selain dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM8,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan.

Selain itu, mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM5,000 ke atas Noor Aqilah yang mengaku bersalah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat untuk menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman.

Pada 8 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwaan dan menaikkan hukuman penjara kepada enam tahun bagi kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 manakala hukuman penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan perintah lain yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang dikekalkan.

Bagaimanapun, mahkamah itu memerintahkan Noor Aqilah menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu enam tahun sahaja.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×