Mampukah manusia hidup dalam kegelapan dan masa silam? Itulah perkara yang membelenggu fikiran penulis ketika menonton filem yang penuh aksi ini.
Seperti filem-filem Spiderman yang pernah ditayangkan sebelum ini, filem The Amazing Spider-Man 2 masih lagi mengekalkan jalan cerita berdasarkan komik asal dan tidak lari dari cerita sebenar.
Dengan menampilkan pelakon terkemuka seperti Andrew Garfield, Emma Stone, Dane De Haan dan Jamie Fox, filem yang memulakan tayangannya semalam (1 May 2014) sudah pasti dapat menarik peminat segenap masyarakat.
Jika anda masih ingat, dalam filem The Amazing Spiderman terdahulu memaparkan penamat yang begitu meruntum jiwa dengan kematian bapa kepada Gwen.
Kali ini, Peter Parker masih lagi dilanda konflik jiwa apabila dia tidak dapat melupakan kematian bapa kekasihnya, Gwen Stacy hingga terbawa-bawa bayangan lelaki itu kemana saja.
Oleh kerana itu, perasaan yang ada terpaksa dipendem dek kerana janji yang pernah dibuat kepada mendiang bapa Gwen sekaligus menyebabkan pergolakan hubungan mereka semakin serius.
Malah, kali ini, Peter bukan hanya berseronok berayun di antara bangunan pencakar langit bersama kekasihnya, Gwen Stacy, tetapi turut berdepan dengan musuh lebih kuat iaitu Elektro dan sahabat lamanya, Harry Osborn.
Konflik bermula apabila Max yang begitu obses dengan Spiderman terkena renjatan elektrik dan jatuh ke dalam tangki belut listrik sewaktu membaiki kerosakan yang berlaku di makmal tempat kerjanya.
Spiderman berdepan dengan musuh yang lebih kuat, Elektro
Nasib tidak menyebelahi Max apabila dia mula berubah dan mempunyai kuasa untuk menyerap kuasa elektrik dan berubah menjadi Elektro.
Dia kemudiannya merayau ke kawasan tumpuan dan menimbulkan kebimbangan orang ramai termasuklah Spiderman. Pada awalnya, Max cuba untuk meminta pertolongan Spiderman terhadap apa yang terjadi.
Bagaimanapun, tindakan seorang anggota polis yang melepaskan tembakan kearahnya, menyebabkan dia berang serta menganggap Spiderman bersubahat dengan anggota polis untuk memerangkapnya.
Dari situlah bermulanya kebencian Max ataupun Elektro kepada Spiderman. Konflik bertambah apabila sahabat baik Peter, iaitu Harry menginginkan darah Spiderman untuk merawat penyakit ganjil yang dihidapi, namun permintaannya tidak berhasil.
Akibat marah dan dendam, Harry telah berusaha mencari Elektro dan bergabung tenaga untuk mengalahkan Spiderman.
Lebih menarik, filem ini turut mendedahkan tentang identiti sebenar ibu bapa Peter dan kaitannya dalam Oscorp Industries hingga bapanya disingkirkan.
Padat dengan cinematografi yang tidak kurang hebatnya, filem arahan Marc Webb ini dilihat mampu menarik perhatian para pencinta peminat Marvels.
Nak tahu lebih lanjut? Kenalah tonton filem ini sendiri, dan anda pasti tak akan hampa dengan jalan ceritanya yang penuh adegan mendebarkan. Jadi, apa tunggu lagi, jom serang panggung sekarang!