berita

Viral Ibu Muda Mati Rahim Direntap Selepas Bersalin, Doktor Beri Penjelasan

October 19th, 2019 | by Arini Saleh
Kesihatan & Hidup Aktif

Baru-baru ini viral di media sosial, seorang ibu muda berusia 22 tahun maut selepas rahimnya direntap keluar selepas melahirkan anak. Kejadian yang berlaku di Nizhneserginskaya, Rusia itu dipercayai akibat kecuaian doktor yang pada mulanya ingin menarik plasenta tetapi sebaliknya merentap keluar rahim.

Sehubungan itu, Pakar Perunding O&G, Datuk Dr Rushdan Noor menjawab isu kematian yang menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial ini.

Apa itu rahim menyongsang?

RAHIM MENYONGSANG (UTERINE INVERSION)

Semalam Astro Awani menyiarkan berita seorang ibu meninggal akibat doktor “merentap” rahim. Kejadian ini berlaku di Rusia. Berita ini menjadi tular dan rata-rata netizen mengeji dan menempelak doktor yang terlibat sehingga ada yang mengesyorkan doktor itu dihukum mati. Mungkin maklum balas yang beremosi ini disebabkan oleh tajuk berita yang disiarkan dan kurang kefahaman ilmu perbidanan. Saya ingin berkongsi dengan anda tentang apakah yang mungkin telah berlaku.

Rahim menyongsang (“turned inside out”) ataupun “uterine inversion” adalah salah satu komplikasi kelahiran yang serius berlaku selepas bayi dilahirkan. Ia boleh berlaku dengan sendiri apabila tekanan tinggi dalam rongga abdomen dikenakan ke atas rahim yang tidak mengecut dengan baik. Ia juga boleh disebabkan oleh kedudukan uri di bahagian bumbung rahim dan melekat pada dinding rahim. Apabila uri ini cuba dikeluarkan, ia tidak terpisah dari dinding rahim sebaliknya menarik dinding rahim bersama turun ke bawah hingga keluar menerusi faraj secara menyonsang. Dalam keadaan ini, bahagian rahim yang sepatutnya berada di atas berpindah ke bawah dan pangkal rahim tertinggal di atas. Bahagian rahim tersebut boleh keluar melalui faraj dan kelihatan seperti ketumbuhan besar.

Boleh menyebabkan pendarahan banyak

Rahim menyongsang berbeza dengan rahim turun (“uterine prolapse”) kerana rahim yang turun masih mengekalkan bentuk yang normal. Rahim turun adalah umpama anda menuruni tangga dengan kepala di atas tetapi rahim terbalik adalah umpama anda menuruni tangga dengan kepala anda di bawah. Rahim menyongsang dikategorikan kepada beberapa tahap berdasarkan kepada kedudukan bumbung rahim (fundus) yang terkeluar.

Rahim yang keluar menyongsang ini boleh menyebabkan pendarahan yang banyak dan boleh mencetus renjatan saraf vasovagal. Ia juga boleh menyebabkan jangkitan rahim. Jika tidak dirawat segera wanita tersebut boleh mati. Kejadian rahim menyongsang ini dianggap satu keadaan kecemasan dan jika ditangani pada peringkat awal, rahim itu dapat dikembalikan pada kedudukan asal dan pesakit dapat diselamatkan. Jika rahim gagal dikembalikan dengan kaedah manual, pembedahan perlu dilakukan untuk memulihkan rahim tersebut tetapi kadangkala doktor mungkin perlu melakukan pembedahan mengeluarkan rahim jika pendarahan tidak dapat dihentikan.

Antara risiko

Di antara risiko kejadian rahim menyongsang adalah ibu-ibu yang pernah mengalami komplikasi ini di masa dahulu (berulang), kedudukan uri berada di bahagian bumbung rahim (fundus), uri yang melekat kuat pada dinding rahim (“placenta accreta”) dan tali pusat bayi yang pendek. Ia juga boleh berlaku jika kelahiran dikendalikan oleh petugas yang tidak terlatih ataupun tergesa-gesa menarik keluar uri sebelum uri terpisah dari dinding rahim. Terdapat juga ibu yang mengalami rahim menyongsang secara spontan dan tidak diketahui punca yang sebenarnya.

Rahim yang menyongsang bukan semuanya berlaku ke atas ibu yang melahirkan anak tetapi juga wanita-wanita yang tidak hamil. Wanita ini mengalami penyakit ketumbuhan fibroid pada bahagian atas rongga rahim, apabila fibroid ini membesar ia akan mengisi rongga rahim dan keluar menerusi rongga pangkal rahim ke dalam faraj, akibat dari tarikan dari fibroid yang membesar ini, bumbung rahim akan ditarik turun dan masuk ke dalam faraj. Disebabkan oleh proses rahim menyongsang ini berlaku dalam jangkamasa yang panjang ianya dikenali sebagai rahim menyongsang yang kronik (“chronic uterine inversion”).

DDr Rushdan Noor
Pakar Perunding O&G
19hb Okt 2019

Sumber: Rushdan Noor

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×