berita

Waspada Scam: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Anjur InvestSmart Fest Elak Penipuan Pelaburan Dalam Talian!

November 9th, 2023 | by Intan Mahsuri
#watsonsmti

Seperti yang korang sedia maklum, sekarang ni dah macam-macam teknik digunakan oleh scammer untuk menipu.

Lebih membimbangkan apabila peningkatan ketara dapat dilihat dalam sektor pelaburan, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak tinggal diam. Mereka terus giat berusaha menyebarkan maklumat dan berkongsi tips untuk mengelakkan permasalahan ini berleluasa.

SC kawal selia pembangunan pasaran modal Malaysia!

Bagi yang belum tahu, secara teknikal SC merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Antara mandat SC adalah untuk memastikan pelabur-pelabur Malaysia terlindung. Apatah lagi apabila beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti pelaburan oleh rakyat semakin bertambah.

Tapi dalam masa yang sama, kes penipuan pelaburan dan juga aktiviti pelaburan tidak berlesen turut bertambah terutamanya ketika negara dilanda pendemik Covid-19.

Kes skim penipuan pelaburan & pelaburan tanpa lesen meningkat!

Semenjak pandemik Covid-19 bermula pada awal tahun 2020, terdapat peningkatan yang amat ketara berkaitan kes skim penipuan pelaburan dan skim pelaburan tanpa lesen.

Tahun Jumlah aduan berkaitan skim penipuan
2020 1,799
2021 3,475
2022 2,461
2023 2,524 (3Q ,2023)

Berdasarkan kotak diatas, korang boleh lihat peningkatan ketara jumlah aduan berkaitan skim penipuan pada tahun 2021 iaitu ketika musim pandemik dimana scammers giat mencari mangsa.

Walaupun penurunan berlaku pada tahun 2022 namun, jumlah aduan yang diterima masih tinggi.

Lebih mengejutkan lagi, angka ini kembali meningkat pada tahun ini walaupun kita baru sahaja melepasi penggal ke-3.

Situasi ini mendatangkan kebimbangan kerana jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa scam mencecah puluhan juta ringgit dan itu bukanlah satu jumlah yang kecil.

Waspada scam, scammer!

Melalui pemerhatian SC, kaedah-kaedah yang digunakan scammers makin hari makin canggih.

Kebiasaanya, scammers akan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat tanpa sebarang risiko. Tetapi ini hanyalah indah khabar dari rupa.

Scammers akan menyalahgunakan nama dan logo syarikat untuk menyakinkan pelabur bahawa mereka kononnya berurusan dengan syarikat yang sah.

Scammers juga akan berikan pelbagai alasan ketika pelabur cuba mengeluarkan jumlah “keuntungan” yang dijanjikan.

Berdasarkan kes-kes yang diterima oleh SC, kebanyakan skim penipuan pelaburan di promosikan di platform media sosial terutamanya Facebook dan Telegram Group.

Untuk menyertai skim yang ditawarkan, pelabur perlu mendepositkan sejumlah wang ke akaun bank individu atau entiti yang tidak berkaitan.

Kredit: EduAdvisor

Oleh itu, pelabur perlu berwaspada terhadap individu yang mendakwa diri mereka pakar pelaburan yang menawarkan nasihat yang boleh dipertikaikan atau menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan.

Selain itu, SC turut mendapati terdapat peningkatan bilangan selebriti atau pempengaruh yang turut mempromosikan tawaran pelaburan runcit di media sosial.

Ini termasuk menggunakan selebriti tidak bertauliah, tidak berpengetahuan untuk memberikan nasihat pelaburan atau menggunakan selebriti duta untuk bercakap atau mempromosikan pelaburan yang kononnya berjaya.

Pengguna perlu peka, jangan mudah terpedaya!

SC nak kongsi satu formula mudah untuk setiap para pelabur terutamanya pelabur baru dan muda.

Ingat dan amalkan formula T.I.P.U ini sebelum melabur.

‘T‘ – Tidak akan rugi;

‘I’ – Indah khabar dari rupa;

‘P’ – Peluang hanya sekali;

‘U’ – Untung besar.

Selain itu, korang boleh amalkan 7 langkah ini untuk mengelakkan penipuan:

1. Berhati-hati dengan skim yang ditawarkan melalui platform media sosial

2. Jangan sesekali mendepositkan duit ke dalam akaun bank peribadi

3. Pelaburan mesti dibuat melalui akaun bank rasmi

4. Sebelum melabur, semak laman web SC iaitu Senarai Peringatan Pelabur atau Investor Alert List

5. Hanya berurusan dengan entiti berlesen

6. Semak laman web PDRM ‘semak mule’

7. Kalau ragu-ragu, semak dengan SC melalui email, [email protected] atau hubungi 03-6204 8999

Rujuk SC sebelum melabur!

Tiada alasan untuk kita tidak memperkasakan diri kita untuk menjadi pelabur yang bijak.

Pelbagai platform telah disediakan oleh pelbagai pihak, khususnya SC melalui inisiatif InvestSmart untuk masyarakat Malaysia menimba ilmu literasi kewangan.

SC ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mengambil apa-apa keputusan pelaburan.

Satu pesanan dari kami di SC, jangan sekali-kali membuat pindahan wang ke akaun bank individu peribadi untuk tujuan pelaburan dan sentiasalah membuat pengesahan nama syarikat pelaburan sebelum melabur.

Jika anda telah terjerat dengan scam, jangan panik dan ambil langkah-langkah berikut:

1. Jangan buat sebarang bayaran tambahan

2. Simpan rekod semua maklumat yang berkaitan dengan pelaburan anda cth. slip pembayaran/bank-in, resit & rekod perbualan.

3. Buat laporan polis dan buat aduan dengan pihak berkuasa yang berkaitan

4. Aduan dengan SC boleh dibuat melalui salah satu daripada yang berikut:

  1. E-mel: [email protected]
  2. Hubungi Talian Aduan di talian: 03-62048999
  3. Buat temujanji untuk berjumpa pegawai SC

Kemukakan aduan beserta butiran dan dokumen yang berkaitan. Butiran lanjut tentang cara membuat aduan kepada SC boleh didapati di laman web SC di sc.com.my.

Sertai InvestSmart®, elak penipuan pelaburan!

Melihat trend peningkatan skim penipuan dan pelaburan tak berlesen SC telah mengambil pendekatan 2 hala untuk menangani isu ini.

1. Membendung aktiviti scam menerusi pelbagai tindakan pencegahan dan penguatkuasaan;

2. Memperkasa pelabur melalui aktiviti-aktiviti pendidikan pelabur.

Dalam usaha membendung aktiviti scam, SC telah mengeluarkan notis henti operasi, menyekat laman web terlibat dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Akaun Facebook, Instagram dan aplikasi telegram individu dan syrikat yang terbabit turut disekat.

SC juga selalu mengemaskini Senarai Peringatan Pelabur untuk membimbing orang ramai mengenal pasti antara syarikat pelaburan yang berlesen atau bersifat penipuan/scam.

InvestSmart® inisiatif SC untuk memperkasa pelabur!

Dalam usaha pemerkasaan pelabur, SC telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan InvestSmart®.

InvestSmart® merupakan program pemerkasaan pelabur SC yang antara lain,bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang produk dan perkhidmatan pasaran modal, membantu pelabur membuat keputusan pelaburan termaklum dan cara mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Tahun ini merupakan edisi kesepuluh InvestSmart® Fest dengan tema ’10 Tahun Memperkasa Rakyat Malaysia’.

Pelbagai pameran, ceramah, perbincangan panel, cabutan bertuah, permainan dan banyak lagi menanti pengunjung. Ini termasuklah pameran daripada 45 syarikat, 31 sesi ceramah dan lebih 500 slot #FinPlan4U (sesi rundingan perancangan kewangan percuma bersama perancang kewangan berlesen).

Untuk makluman, InvestSmart Fest 2023 akan berlangsung di KL Convention Centre (KLCC) pada 17 November 2023 hingga 19 November 2023.

Masuk adalah percuma!

Jadi, pastikan korang datang. Dekat sini korang boleh dapatkan pelbagai maklumat dan senarai-senarai syarikat pelaburan berdaftar. Barulah korang tak ditipu dan tertipu!

Ingat, silap labur, duit lebur!

Follow platform media sosial InvestSmart (Facebook, Instagram, Youtube, Twitter & Tik Tok) untuk hebahan dan maklumat terkini daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

SKIP THIS AD ×