Ibu kepada Shila Amzah iaitu Datin Fauziah Sarman mengesahkan telah bercerai dengan suaminya, Datuk ND Lala yang merupakan pelakon dan penyanyi era 1980-an.
Artikel Berkaitan: Syada Amzah Nafi Ibu Failkan Perceraian
Artikel Berkaitan: Isteri ND Lala Dedah Wajah, Nama Penuh Penyondol Di Instagram?
Lafaz cerai pada 2 Ogos
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Fauziah meluahkan rasa syukur apabila kemelut rumah tangga mereka akhirnya berakhir. Dedah Fauziah, ND Lala telah melafazkan cerai pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan memaklumkan kepada dirinya pada Selasa.
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya, saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp.
Alhamdullilah, Allah telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini. Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-Allah.
Tambah Fauziah, dia menjelaskan status mereka agar tidak timbul sebarang fitnah di kemudian hari.
Saya menulis ini untuk menjelaskan status saya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan kami selama 34 tahun ini.
Semoga kuat
Dalam pada itu, ibu kepada empat cahaya mata ini memohon orang ramai mendoakan agar dirinya kuat untuk meneruskan kehidupan sepertimana ketika dirinya ditipu.
Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.
Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredhai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.
Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua.
Terdahulu, nama ND Lala dipetik selepas timbul kontroversi berhubung penyanyi lelaki popular era 80-an dikhabarkan telah bernikah lagi bersama wanita lebih muda.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang penjelasan atau kenyataan berhubung dakwaan tersebut.
Sebelum ini, mahligai cinta pasangan sejoli ini dikatakan goyah, namun Shila menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan rumah tangga ibu bapanya sedang melalui fasa sukar.
Sumber: Instagram