berita

Bekas Drummer Ukays, Akel Zainal Maut Di Syria Bersama Isteri Dan Dua Anak

November 13th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Kegiatan bekas drummer kumpulan rock 1990-an Ukays, Akel Zainal yang menyertai militan Daish di Syria sejak 2014 telah mengejutkan negara. Terkini, menerusi Harian Metro, dia telah disahkan terbunuh pada awal tahun ini apabila diserang melalui serangan udara oleh Rusia.

Isteri & anak turut terbunuh

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, maklumat yang diterima pihaknya mengatakan bahawa Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin dan seorang lagi militan Daish telah maut dalam serangan udara Rusia pada Januari dan Mac lalu.

Tambahnya lagi, isteri bersama anak Akel yang berusia dua dan tiga tahun turut terbunuh dalam serangan itu.

Kita menerima maklumat bahawa Akel terbunuh apabila rumahnya di Baghouz terkena serangan bom dari udara pada Mac lalu.

Kerap merekrut ahli

Pada awal tahun ini, E8 Cawangan Bukit Aman telah menahan enam individu termasuk empat warga asing dipercayai terbabit dalam aktiviti Daish ini. Mereka terdiri daripada dua warga Malaysia dan masing-masing warga Singapura, Filipina, Bangladesh serta sebuah negara di Asia Selatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan bahawa suspek yang didakwa aktif berhubung dengan Akel Zainal atas tujuan untuk melancarkan serangan.

Suspek juga menerima arahan daripada Akel Zainal untuk merekrut beberapa individu bertujuan melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor Bahru.

Tangkapan suspek adalah hasil kerjasama antara Cawangan Khas PDRM dan Internal Security Department (ISD) Singapura. Suspek diserahkan kepada pihak ISD Singapura pada 7 Januari lalu selepas selesai menjalani proses soal siasat.

Bakal ditahan jika pulang ke Malaysia

Pada tahun lepas, New Straits Time ada melaporkan bahawa Akel Zainal bakal ditahan jika pulang ke Malaysia kerana telah menyertai kumpulan pengganas itu. Menurut sumber, Akel bersama beberapa lagi pengganas dari Malaysia telah berada di Syria untuk berperang.

Pihak berkuasa Malaysia telah menerima maklumat menyatakan bahawa gerakan pengganas itu sanggup bermati-matian di Syria. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia akan menahannya jika dia kembali pulang ke Malaysia.

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×