berita

Gigi Terpatah Jangan Dibuang, Ini Langkah Awal Untuk Elak Anak Rongak

April 17th, 2019 | by Hazurin
Kesihatan & Hidup Aktif

Anak kecil yang sedang giat membesar pastinya lebih aktif melakukan apa sahaja aktiviti yang mereka mahukan. Disebabkan aktiviti tersebut, mereka juga berisiko untuk mengalami apa sahaja kecederaan akibat terjatuh, tersembam dan sebagainya.

Bila ada anak yang terjatuh dan menyebabkan gigi patah ataupun tercabut, jangan buang gigi tersebut! Sebaliknya, anda perlu ikuti tips perkongsian oleh Medical Mythbusters Malaysia bagaimana untuk mengelakkan daripada gigi anak rongak buat selama-lamanya!

Ada beza gigi terpatah dan gigi tercabut

Anak-anak kita ini kalau terjatuh, tersembam muka kalau tidak giginya tercedera, bibir atau lidahnya yang akan luka. Gigi hadapan anak-anak ini sering akan mengalami kecederaan bila terjatuh. Giginya sama ada terpatah atau tercabut.

Terpatah adalah apabila sebahagian giginya terasing dari sebahagian yang lain. Maksudnya sebahagian gigi masih ada dalam tulang didalam mulut. Tercabut pula menunjukkan keseluruhan gigi itu terkeluar dari soket gigi. Dalam istilah pergigian dikenali sebagai AVULSION.

Kedua-dua rawatan gigi terpatah dan tercabut ini adalah berbeza. Mari kita fokuskan kepada gigi yang tercabut dari soket gigi apabila anak-anak terjatuh.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan

1. Apabila anak-anak terjatuh dan berdarah dalam mulut, bertenang dan jangan panik.

2. Pastikan terlebih dahulu gigi yang tercabut itu sama ada gigi susu atau gigi kekal. Selalunya, ibubapa akan peka keadaan ini kerana kanak-kanak yang mempunyai gigi susu atau gigi deciduous yang berada dihadapan akan exfoliasi tertanggal dalam lingkungan usia 6-8 tahun.

3. Sekiranya gigi susu yang tercabut keluar, tidak perlu khuatir kerana anak masih mempunyai gigi ‘spare‘ yang akan mengantikannya. Yang perlu diberi perhatian adalah gigi kekal.

4. Apabila kecederaan mengakibatkan gigi kekal yang tercabut keluar, pekara pertama yang perlu dilakukan adalah memasukkan semula gigi ke dalam soket gigi itu semula. Kaedah ini dalam istilah pergigian adalah reimplantation

5. Ibu bapa di ingatkan untuk mengendalikan gigi tercabut itu dengan memegang pada kepala gigi atau kawasan crown gigi. Jangan memegang pada kawasan akar gigi tersebut.

6. Selepas memasukkan gigi itu ke dalam soket gigi tersebut, letakkan sapu tangan atau kain bersih untuk anak gigit di bawah gigi tersebut dan segera ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan seterusnya.

Perlu simpan gigi yang tercabut

Sekiranya ibu bapa takut atau tidak pasti bagaimana untuk memasukkan gigi ke dalam soket gigi tersebut, simpan gigi anak yang tercabut itu di dalam bekas yang mempunyai medium yang boleh menyelamatkan gigi anak kelak.

Medium ini adalah seperti susu segar, cecair air liur, cecair normal saline (cecair pembersih kanta lekap), atau sekiranya tidak dapat menemui semua cecair seperti diatas dalam keadaan kecemasan, masukkan gigi kedalam mulut dan segara ke klinik pergigian.


Awas!!!! Jangan sampai tertelan atau tercekik dengan gigi tersebut. Keadaan adalah penting memastikan gigi ini dipelihara dari terlalu lama kering berada di luar mulut atau tidak berada didalam medium yang sesuai seperti yang disebutkan tadi.

Sekiranya gigi itu berada di luar mulut tanpa di dalam medium yang sesuai melebihi 60 minit kadar keberjayaan gigi itu akan sihat dan berfungsi normal seperti biasa selepas rawatan reimplantasi telah menurun dan sukar dijangka. Malah komplikasi lain pula perlu dihadapi seperti infeksi, angkylosis juga resorption.

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia