berita

Golongan Miskin Tegar & B40 Meningkat, Seminar Pemulihan Negara Kupas Isu Dan Cadangan Sewajarnya

October 16th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Umum mengetahui negara masih dalam tahap pemulihan selepas pandemik melanda dunia dan kini berdepan dengan situasi ekonomi yang cukup mencabar.

Dalam membincangkan hal tersebut, baru-baru ini, bertempat di The Everly, Putrajaya telah berlangsung Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang dianjurkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Seminar satu hari ini merangkumi pembentangan selari oleh 12 penyelidik yang menjalankan kajian penyelidikan di bawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) dan mereka juga adalah sebahagian daripada 30 penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk menjalankan kajian dalam pelbagai bidang berkaitan ekonomi dan sosial khususnya bagi membantu langkah-langkah pemulihan negara.

Kosmo Digital/Faisol Mustafa

Seminar kebangsaan bertujuan membentangkan strategi dan plan berkaitan pemulihan ekonomi negara serta skop kajian yang merangkumi:

  • isu-isu kemiskinan
  • pemerkasaan golongan rentan
  • meningkatkan daya tahan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS)
  • pemulihan sektor pelancongan
  • kelestarian ekonomi hijau.

Hadir merasmikan seminar tersebut, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua kajian ini adalah selari dengan bidang tumpuan utama MPN berdasarkan salah satu kertas ringkasan dasar bertajuk ‘Penyelesaian Kemiskinan Situasi Untuk Keperluan Pelan Pemulihan Negara’ yang telah dibentangkan.

Golongan miskin tegar kian meningkat

“Menurut data e-Kasih sehingga 30 Jun 2022, ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar telah meningkat kepada hampir 145 ribu berbanding hanya 45 ribu pada tahun 2020.

“Lebih membimbangkan, sekitar 600 ribu isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori miskin yang telah menyumbang kepada peningkatan golongan B40 kepada B60 pasca pandemik COVID-19,” kata Muhyiddin.

Tambah Muhyiddin lagi, peningkatan ketara ini menunjukkan bahawa ramai yang masih berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan atau penyusutan dalam pendapatan.

Sekiranya langkah intervensi tidak diambil dengan serius dan segera oleh pihak berkaitan, dikhuatiri ramai lagi yang akan menderita dan menjadi miskin papa kedana, seterusnya proses pemulihan negara akan terencat.

Muhyiddin cadang sistem bersepadu dibangunkan untuk bantuan disalurkan secara menyeluruh dan berpusat

NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Jelas Muhyiddin, walaupun terdapat banyak bantuan yang disediakan oleh agensi dan pihak kementerian, namun masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir serta menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.

“Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar,” katanya.

Dalam seminar ini juga, pelbagai isu telah dibincangkan dan dibentangkan sepanjang sesi berlangsung meliputi aspek kemiskinan, pembangunan, pemerkasaan eksosistem, ekonomi hijau dan banyak lagi.

Berikut merupakan intipati sesi plenari yang dibentangkan sepanjang seminar:

Sesi Plenari: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial

COVID-19 secara tak langsung telah memberi impak mendalam terhadap rakyat, ini termasuklah terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.  Pelbagai langkah dan strategi pemulihan telah disyorkan oleh MPN untuk tindakan kerajaan.

Antara langkah-langkah berkaitan pemulihan negara adalah meliputi:

  • memacu sektor perniagaan
  • meningkatkan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)
  • menangani keciciran pelajaran
  • menjamin golongan B40

The Star/Azhar Mahfof

Sesi Selari 1: Kesejahteraan dan Kesaksamaan Sosial

Tema: Kemiskinan dan Pembangunan B40

Kesejahteraan sosial merupakan antara Teras Strategik yang dibangunkan sebagai kunci untuk menjayakan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) bagi menangani jurang kekayaan dan pendapatan ke arah pembangunan untuk semua.

Sesi yang diwakili tiga pembentang daripada MPDP ini menfokuskan kepada isu-isu berkaitan kemiskinan situasi dan pembangunan pendidikan B40.

Tema: Keterangkuman Wilayah dan Penglibatan Pihak Berkepentingan 

Sesi ini dibentangkan oleh tiga pembentang dari MPDP dengan membincangkan isu-isu berkaitan keterangkuman wilayah dan kerjasama awam-swasta dalam aspek pelaksanaan pembasmian kemiskinan secara berterusan.

Sesi Selari 2: Pemerkasaan Ekosistem Ekonomi Lestari

Tema: Ekonomi Hijau

Inisiatif Agenda Hijau yang dilaksanakan di bawah Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan sejak tahun 2009 memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan sektor teknologi hijau dan sumber-sumber boleh diperbaharui sebagai usaha merancakkan ekonomi dan mempromosi pembangunan lestari yang berpotensi menjana ekonomi negara pada masa hadapan.

Sesi ini diwakili oleh dua pembentang dari MPDP dalam membincangkan bagaimana perubahan iklim dilihat boleh menjejaskan ekonomi dan komoditi negara.

Tema: Sekuriti Makanan

Perkembangan geopolitik dunia termasuk konflik Rusia-Ukraine telah menjejaskan kelangsungan hidup masyarakat di peringkat global, yang menjadi amaran jelas kepada Malaysia untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) dan menurunkan kadar kebergantungan import (IDR) tanaman, ternakan dan buah-buahan di pasaran domestik bagi mengatasi isu sekuriti makanan negara.

Dua pembentang dari MPDP mengupas lanjut isu-isu berkaitan sekuriti makanan di Malaysia serta langkah-langkah yang sepatutnya diambil oleh pihak kerajaan.

Tema: Pemerkasaan PMKS & Ekopelancongan

Akhir sekali, sesi ini membincangkan tentang pendekatan yang perlu diteroka untuk aspek pemulihan sosioekonomi negara pasca pandemik serta memberi fokus kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ketahanan sektor ekopelancongan.

Kesimpulannya, Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial ini merupakan sebagai langkah ke hadapan buat semua pihak agar kesejahteraan rakyat terjamin, seterusnya sentiasa menjadi prioriti negara dan bukan demi kepentingan politik semata.

SKIP THIS AD ×