berita

Murah Tapi Berisiko, Pakai Fake Braces Anda Mungkin Dijangkiti HIV

October 15th, 2019 | by Amat
Kesihatan & Hidup Aktif

Isu pendakap gigi palsu atau lebih dikenali sebagai fake braces ini bukan perkara baru dalam kalangan individu yang ingin mencantikkan gigi mereka. Meskipun telah berkali-kali peringatan dikeluarkan terhadap bahayanya pemakaian fake braces ini, masih ramai yang memandang ringan.

Terbaru, menerusi laporan Metro, Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Doreyat Jemun menyifatkan perkhidmatan pendakap gigi tiruan boleh terdedah kepada jangkitan berjangkit termasuk HIV.

Risau pengguna dijangkiti virus

Tidak dinafikan jumlah pemakai pendakap gigi tiruan yang datang ke Klinik Kesihatan Pergigian Awan (KKPA) semakin meningkat. Dr Doreyat Jemun berkata pemasangan fake braces pada gigi semakin mendapat sambutan ekoran harga perkhidmatan lebih murah berbanding braces original di klinik pergigian yang diiktiraf.

Kedatangan pesakit itu kerana mereka mengalami pelbagai implikasi daripada kesan penggunaan pendakap gigi tiruan yang semakin menjadi ‘trend’ terkini.

Perkara ini membimbangkan apabila masih ramai orang awam terutama remaja yang menggunakan perkhidmatan haram itu kerana murah dan mudah sedangkan mereka berdepan dengan pelbagai risiko.

Perkhidmatan haram ditawarkan itu dijalankan tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya dan paling merisaukan kerana kebarangkalian pengguna untuk dijangkiti virus dan kuman sangat tinggi.

Murah tapi tinggi risiko

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia berharap agar masyarakat menyedari impak buruk terhadap bahayanya penggunaan pendakap gigi tiruan.

Biarpun ia murah berbanding harga pasaran semasa di klinik pergigian swasta, namun pendakap gigi tiruan ini memberi banyak risiko. KKPA menyediakan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dan manfaatkan kemudahan yang ditawarkan kerana ia selamat dan murah.

Banyak kes berkaitan kesan akibat penggunaan pendakap gigi tiruan direkodkan antaranya gigi menjadi semakin jongang dan ada kes semua gigi tertanggal.

Bahayanya fake braces

Menerusi portal My Health Kementerian Kesihatan Malaysia, selalunya fake braces ini dipasang dalam tempoh 3 hingga 5 bulan sahaja. Gam yang ditampal pada fake braces itu akan mula longgar sekiranya melebihi tempoh berkenaan.

Tambahan pula, isi kandungan bahan pada fake braces ini tidak diketahui sama ada selamat ataupun tidak. Terdapat laporan mengatakan salah satu bahan yang terkandung di dalam fake braces adalah plumbum yang berbahaya pada kesihatan. Malah, alat-alat yang digunakan untuk pemasangan fake braces adalah tidak dinyahkuman sebagaimana yang dilakukan di klinik-klinik pergigian bertauliah.

Selain itu, kesan gam yang dilekatkan boleh menyebabkan gigi terhakis. Karies gigi dan gusi berdarah juga boleh terjadi kerana tiada penerangan untuk penjagaan gigi selepas pemasangan.

Pemasangan fake braces boleh menyebabkan pergerakan gigi. Walaupun pergerakan gigi ini mungkin tidak banyak, ada juga kes dilaporkan hampir menyebabkan gigi goyang dan hampir tertanggal dari gusi.

Sumber: Metro, Kementerian Kesihatan Malaysia

SKIP THIS AD ×