berita

Scammer Perdaya Tidak Kira Siapa, Jangan Jadi Mangsa Seterusnya. Jom Banteras Jenayah Scam Bersama!

December 30th, 2022 | by Syamirul
Kini Trending

Putih mata bila baki akaun simpanan bank berkurang? Mujur ada 997!

Sejak akhir-akhir ini, kes-kes penipuan kewangan yang melibatkan pengeluaran wang tanpa kebenaran semakin menjadi-jadi. 

Para scammer menggunakan pelbagai cara untuk merompak duit dalam bank kita dan modus operandi terkini yang digunakan untuk menggodam akaun bank mangsa. Salah satu caranya ialah melalui fail Kit Pakej Android (APK).

Hampir setiap minggu, kes-kes penipuan ini dikongsikan oleh mangsa dan juga pihak media. Banyak mangsa penipuan kewangan yang mengadu bahawa duit mereka lesap begitu sahaja tanpa menerima SMS OTP dari pihak bank.

Pada awalnya, min tidak percaya ia boleh berlaku sehinggalah min sendiri menjadi mangsa. Memang trauma!

Dijerat dengan iklan tawaran penjualan barangan murah dari kenalan di laman sosial!

Penipuan kewangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa jika kita lalai dan tidak berwaspada.

Bukan setakat tu je, scammer ni pandai bermain dengan emosi malah memperdaya kita sehingga mereka dapat apa yang mereka inginkan! Apatah lagi kalau yang memperdaya kita seseorang yang mungkin kita kenali.

Beginilah nasib malang yang menimpa di saat min sedang bercuti bersama keluarga. Sama sekali min tak sangka, seorang member di laman sosial menghubungi min melalui laman sosial dan minta min menyokong perniagaan beliau melalui tawaran penjualan barangan pada harga yang cukup murah.  

Tanpa berfikir panjang, min pun terus bersetuju. Dengan serta merta, min diberi pautan fail APK melalui WhatsApp dan diarah memuat turun aplikasi tersebut di telefon.

Setelah muat turun, aplikasi itu digantikan dengan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS). Kemudian, min diarahkan untuk mendaftar sebelum diberikan akses menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat pembelian.

Antara maklumat yang diminta untuk pendaftaran ialah nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit dan perbankan dalam talian. Setelah semua maklumat dimasukkan, min pun menekan butang hantar.

Sejurus kemudian, paparan kesilapan muka surat (page error) muncul di skrin telefon pintar min. Sebenar-benarnya, aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem online banking yang tulen. Ia hanya merupakan taktik untuk memancing maklumat perbankan. Dengan sekelip mata, kenalan di laman sosial ini tidak dapat dihubungi. 

Apa  lagi mood happy relaks bersantai di pantai, terus bertukar menjadi panik. Min terus menyemak baki akaun bank. Apakan daya, nasi dah menjadi bubur, hampir kesemua wang simpanan dalam akaun min telah lenyap. Memang rasa nak pitam masa tu!

Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)

Sebenarnya ketika panik memang tidak dapat berfikir dengan betul, nasib baiklah ada isteri yang mencadangkan min untuk menghubungi pihak NSRC di talian 997.

Nombor keramat ini merupakan nombor tindak balas kecemasan bagi membantu mangsa penipuan kewangan terutamanya penipuan kewangan dalam talian yang menyedari bahawa wang dalam akaun bank telah dipindahkan tanpa pengetahuan. 

NSRC dapat membantu mangsa penipuan kewangan seperti min ni daripada menghadapi kerugian kewangan selanjutnya. Mereka juga akan berusaha mengesan wang yang telah dicuri, menjalankan siasatan terhadap jenayah penipuan tersebut dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah yang terlibat.

Kalau korang nak tahu, NSRC ini baharu saje ditubuhkan pada bulan Oktober lepas. Ia merupakan usaha sama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi yang mempunyai sumber dan kepakaran untuk membanteras penipuan kewangan dengan lebih cepat dan berkesan.

Kes penipuan kewangan yang dikendalikan tertumpu pada penipuan kewangan dalam talian yang popular  seperti memancing data (phising), Macau scam, serangan perisian hasad atau  malware, penipuan penghantaran barang atau bungkusan (parcel scam) dan love scam.

Perkhidmatan panggilan NSRC responsif dengan langkah jelas yang perlu dilakukan

Ni min nak ceritakan pengalaman semasa berurusan dengan pihak NSRC, memang semuanya berjalan dengan lancar. Pada masa tu min agak beremosi dengan perasaan bercampur baur, marah, sedih dan kesal.

Namun, pegawai yang menjawab panggilan min tu cukup profesional dan hanya meminta maklumat-maklumat seperti berikut:

  • Penerangan ringkas tentang insiden penipuan (contohnya kronologi peristiwa)
  • Butiran peribadi (nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank)
  • Butiran penjenayah (nama, nombor telefon)
  • Butiran transaksi (nombor akaun-akaun bank yang terlibat, jumlah serta masa transaksi dibuat)

Selain itu, min juga disuruh untuk berkongsi screenshots perbualan min bersama penjenayah tersebut.  Selepas itu, min disarankan untuk membuat laporan polis.

Tindakan ini penting bagi membolehkan pihak polis memulakan siasatan rasmi. Min pun buat laporan polis dengan serta merta.

Pihak NSRC masih cuba membantu min mendapatkan duit simpanan min yang sudah beralih dari satu akaun ke akaun yang lain untuk beberapa kalinya maka kes telah menjadi sedikit rumit. Min memang dah pasrah dan terus berdoa agar duit min masih dapat diselamatkan sedikit kalau bukan semua akibat kecuaian dari min sendiri.  

Min difahamkan sekiranya insiden penipuan telah berlaku melebihi 24 jam, min perlu melaporkan kes penipuan ini kepada pihak bank dengan segera bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penjenayah.

Maklumat-maklumat penting lain yang perlu anda ketahui mengenai NSRC

Min juga diberitahu oleh pihak NSRC bahawa pihak NSRC, polis atau bank, tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi, contohnya nama pengguna, kata laluan, nombor PIN, TAC atau OTP. Ingat ya!

Sekiranya min telah membuat laporan kepada pihak bank, itu sudah cukup dan min tidak perlu lagi menghubungi NSRC. Pihak bank akan bertindak dan terus menghubungi NSRC sekiranya perlu. 

Talian NSRC hanya beroperasi daripada jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari, termasuk cuti umum. Jadi, orang ramai dinasihatkan untuk terus menghubungi hotline bank korang dengan segera yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Tindakan segera ini dapat membantu korang mengurangkan kerugian yang mungkin dialami, walaupun tiada jaminan bahawa korang akan mendapat semula wang tersebut. 

Semakan susulan mengenai kes juga mudah. Korang boleh membuat semakan susulan mengenai kes dengan menyemak status laporan polis secara dalam talian melalui https://sso.rmp.gov.my atau menghubungi pegawai siasatan PDRM yang ditugaskan kepada kes korang.

Min berharap perkongsian pengalaman ini dapat membantu korang untuk mengetahui NSRC dengan lebih lanjut dan maklumat yang diperlukan sekiranya telah menjadi mangsa penipuan.

Untuk maklumat lanjut mengenai NSRC, korang boleh klik sini. Ingat jangan jadi mangsa seterusnya!

SKIP THIS AD ×