Bagi pasangan berkahwin, menimang cahaya mata adalah detik yang ditunggu-tunggu. Namun, bagi ibu bapa muda, topik kewangan perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan masalah di kemudian hari. Jom jadikan tips ini panduan untuk mommy daddy muda.
1. Bijak menabung
Setelah isteri disahkan mengandung dan bakal menerima ‘orang baru’, ibu bapa patut membuat kajian dan carian untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat bagi tujuan tabungan dan pelaburan untuk anak. Pelaburan yang diyakini selamat dan menguntungkan seperti Amanah Saham Bumiputera dan tabungan di Tabung Haji antara yang menjadi pilihan ibu bapa.
2. Ambil insurans nyawa
Mungkin ramai menyangka insurans sesuatu yang membazir kerana hanya membuat pembayaran untuk sesuatu yang tidak diketahui berlaku. Namun, pernahkah terfikir apa yang terjadi jika ditakdirkan anda sebagai ibu atau bapa menemui ajal terlebih dahulu, apa pula nasib anak?
Pilih skim insurans yang bertepatan dengan belanjawan bulanan anda kerana sekarang pelbagai skim ditawarkan oleh banyak syarikat. Jangan takut untuk bertemu ejen insurans untuk mendapatkan nasihat skim insurans nyawa terbaik untuk anda berdasarkan jumlah perlindungan, umur dan jenis pekerjaan.
3. Perlu atau hendak?
Antara set pakaian bayi jenama pereka antarabangsa dan car seat bayi, yang mana satukah kehendak atau keperluan? Contoh sebegini bakal ibu bapa perlu ambil tahu sebelum membelanjakan wang untuk anak mereka.
Tidak perlu terlalu teruja untuk membeli semuanya serba mewah kerana bayi membesar dengan cepat sehingga membuatkan pakaiannya sentiasa perlu ditukar saiz lebih besar. Lebihan wang yang dijimatkan dari membeli kehendak sudah pasti dapat dimanfaatkan ke arah keperluan lain.
4. Perlindungan perubatan untuk anak
Selain kos sara hidup harian, kos perubatan anak-anak perlu dititikberatkan ibu bapa. Dengan adanya pelan perlindungan insurans, anak-anak mempunyai akses kepada rawatan dan ubat-ubatan terbaik jika berlaku komplikasi kesihatan.
5. Buat bajet keperluan rumah
Membesarkan anak memerlukan kos yang tinggi. Untuk itu, perancangan kewangan teliti diperlukan. Ibu bapa perlu mencatatkan barangan keperluan rumah dan anak setiap bulan beserta kosnya untuk menjamin kelangsungan kos hidup.
Kos pakaian, lampin, susu formula, perubatan dan vaksinasi adalah antara kos yang perlu diberi keutamaan. Kegagalan untuk merancang dan berfikir ke depan mungkin akan menyusahkan ibu bapa apatah lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di bandar besar.
6. Tabung kecemasan
Malang sentiasa tidak berbau. Namun ibu bapa perlu sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan. Majalah kewangan Forbes menyarankan ibu bapa untuk menyimpan 6 hingga 10 bulan gaji sebagai tabung kecemasan. Dalam kegawatan ekonomi dunia tidak menentu, apa sahaja boleh berlaku seperti diberhentikan kerja serta-merta dan penutupan syarikat tanpa notis awal.