berita

‘Tiada Apa Dapat Aku Beri Padamu’ – Setia Ke Hujung Nyawa, Kisah Sayu Suami Kehilangan Isteri

November 17th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Tidak semua insan di muka bumi ini bernasib baik untuk hidup dalam kemewahan dan serba lengkap seperti yang selalu dipertontonkan di ruang kaca televisyen. Malah, lebih malang lagi ada juga insan yang hidup dalam serba daif sehingga untuk mengeluarkan kos bagi menguruskan jenazah keluarga sendiri juga tidak mampu.

Menyedari akan hakikat ini, seorang pemuda di Sandakan giat mengusahakan perkhidmatan van jenazah percuma bagi membantu mereka yang dalam kesusahan. Ketika menguruskan setiap jenazah, pengguna Facebook Abam Botak ini telah berdepan dengan banyak cerita sedih daripada insan yang dibantu olehnya termasuklah kisah ini.

Perlu kain kafan

Kelmarin malam aku menerima panggilan daripada jiran si mati. Katanya, perlukan kain kafan untuk keperluan jirannya yang betul-betul miskin.

Aku katakan, boleh. Kain kafan ini memang untuk orang-orang yang memerlukan. Bagi saja saya alamatnya, saya akan datang ke sana sekarang. Kata jirannya, besoklah kau hantar botak. Besok baru kami uruskan. Tanpa bertanya banyak aku pun ia kan sajalah.

Keesokan harinya aku pun bergegas ke sana, kedatanganku disambut oleh suami arwah. Terus dia datang memelukku seeratnya. Katanya terima kasih banyak kerana sudi membantunya dan juga arwah isterinya. Air matanya mengalir deras sekali. Aku juga tidak dapat menahan sebak dan turut menangis bersamanya.

Tak dapat beri apa-apa sebagai balasan

Aku bertanya, dimana jenazah isterinya akan dikebumikan. Jawabnya di seberang jalan Kg.Seng kee sahaja. Dan aku bertanya dimana dan siapa yang akan mandikannya?

Sambil menunjuk dapurnya. Dia berkata disitulah akan dimandikan dan ada jiran-jiran kampung yang akan uruskan jenazah isterinya.

Hatiku mulai lega, Alhamdulillah segalanya sudah diatur dan tinggal tunggu urusan pengebumian saja. Dalam aku mengelamun sendirian, tiba-tiba suaminya bercakap denganku semula.

Kau tengoklah dapurku, apa pun tiada. Gas memasak pun tiada. Tiada apa-apa yang dapat aku berikan kepada kamu sebagai balasan membantuku.

Hati menangis

Aku tidak membalas kata-katanya. Aku hanya diam dan hiraukan saja. Tapi dalam hatiku, aku menangis. Masih ada lagi insan yang susah dariku.

Sambungku, jadi apalah yang pakcik pakai untuk masak dan makan. Jawabnya, aku membeli nasi putih di pasar 50sen sajalah. Kalau ada duit lebih dapatlah aku beli lauk untuk dimakan bersama isteriku.

Ya, Allah. Mendengar dia cakap begitu, aku pun bertambah menangis. Arwah ini hanya hidup berdua bersama suaminya, mereka tidak mempunyai anak, saudara mara dan harta untuk dibanggakan.

Maknanya siapa yang meninggal awal, yang hiduplah akan uruskan jenazah yang pergi dulu dan begitulah sebaliknya.

Susah senang bersama

Mereka berdua hidup menyewa di sebuah bilik kecil dengan kadar bayaran RM100 sebulan. Kalau seringgit saja yang mereka ada dalam tangan, maka seringgit sajalah kadar sewa yang akan dibayar kepada tuan rumah.

Untung tuan rumah pula tidak memaksa mereka untuk memberikan bayaran penuh kepadanya. Berapa yang ada, begitu sajalah diambilnya.

Meskipun mereka hidup susah sebagai pasangan suami isteri, Susah senang mereka tetap hidup bersama. Apa yang membanggakan saya dan menjadi pengajaran kepada saya, mereka berdua tetap setia hingga ke hujung nyawa.

Hari ini banyak kita dengar kes penceraian rumahtangga berlaku kerana masalah kewangan. Namun dua insan ini mampu pertahankan cinta dan rumahtangga mereka sehingga akhir hayat meskipun hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sumber: Facebook Abam Botak

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×