berita

‘Jual-Beli Ulat Tiket Haram’ – Mufti Wilayah Persekutuan

December 10th, 2018 | by faris
Kini Trending

Bahang kehangatan Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil semakin dirasai apabila kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan, habis dijual semalam.

Namun apa yang mengecewakan adalah kemunculan ulat tiket yang menjual tiket dengan harga berlipat kali ganda untuk meraih keuntungan segera. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan fatwa menjalankan urusniaga ini.

Ada unsur ghabn, ihtikar

Menurut Dr Zulkifli, tindakan menjual dengan harga tinggi seperti diiklankan di laman sosial ketika ini adalah sesuatu yang tidak bermoral serta merangsang jenayah penipuan.

Istilah ‘ulat tiket’ boleh diterima sebagai terjemahan daripada perkataan ‘tout’ yang merujuk kepada penjual tiket secara haram. ‘Ulat tiket’ merujuk kepada golongan yang berniaga dengan cara membeli tiket pada harga asal di kaunter sah, terutama pada musim permintaan tinggi, seperti perlawanan akhir atau musim perayaan, kemudian menjual balik dengan harga yang lebih tinggi.

Harga jual balik tiket itu boleh mencecah hingga lima kali ganda atau lebih.

Akad jual beli tiket berkenaan adalah haram kerana mengandungi unsur ghabn dan ihtikar.

Harga tidak sebanding barang

Tindakan ulat tiket itu adalah hampir sama dengan makna al-ghabn al-fahisy dan ihtikar yang diharamkan oleh ramai ulama.

Dari sudut istilahnya, al-ghabn bermaksud kekurangan pada salah satu alat pembayaran akibat manipulasi yang mana kekurangan pada harga saat menjual dan membeli akibat manipulasi pihak tertentu.

Kekurangan ini boleh dirasai oleh pihak pembeli dan penjual pada beberapa keadaan iaitu daripada sudut pembeli, kekurangan harga bermaksud harga dibayar tidak setara dan tidak sesuai dengan nilai barang diterima.

Dari sudut penjual pula, harga yang diterima tidak sebanding dengan nilai barang yang sebenarnya.

Islam larang perkara merugikan orang lain

Tambah Dr Zulkifli lagi, Islam melarang segala bentuk perkara yang merugikan orang lain seperti dalam sabda Rasulullah yang bermaksud tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Secara umum, seorang pembeli apabila hendak membeli (khususnya barang-barang yang bernilai tinggi) tidak akan sepakat dengan penjual kecuali jika dia merasa bahawa wang yang akan dibayarnya sesuai dengan nilai barang yang dibeli.

Apabila dia merasakan tidak berbaloi wang yang dibayar dengan nilai barang, maka dia tidak akan melakukan urusan jual beli. Komitmen ini walaupun tidak dilafazkan dan tidak dijelaskan dalam jual beli, ia termasuk komitmen yang terzahir daripada banyak faktor.

Bukti yang jelasnya adalah ada pilihan tawar-menawar dan bertanya kepada beberapa tempat lain yang menjual barang itu.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×