Jika diperhatikan corak perubahan industri filem tempatan sekarang ini, semakin banyak filem animasi luar negara yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu.
Namun begitu, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang berpendapat filem alih bahasa agak janggal dan mereka lebih gemar menontonnya dalam bahasa asal.
Bagaimanapun, penyampai radio dan penyumbang suara untuk filem animasi, Ray mempunyai pendapat yang berbeza berkenaan isu ini.
Di Malaysia ni mungkin janggal dengan alih bahasa. Tapi ini sebenarnya sebahagian daripada inisiatif untuk bagi kanak-kanak faham dan tak perlukan mereka baca sari kata. Saya rasa memang penting untuk mewujudkan filem dwibahasa sebab tak semua orang faham sesuatu bahasa itu.
Kalau kita pergi Thailand dan Vietnam contohnya, mereka juga ubah cerita-cerita luar negara menggunakan bahasa rasmi mereka. Kita di Malaysia baru nak serap perubahan ni dan saya rasa kita kena buat selalu untuk memperkasakan Bahasa Melayu.
Untuk pengetahuan anda, Ray atau nama sebenarnya Shah Reza Mohd Shah telah menyumbangkan suaranya untuk watak orang salji bernama Olaf dalam filem animasi Frozen terbitan Disney.
Walaupun ini bukan kali pertama Ray terlibat dengan filem alih bahasa, namun filem ini sedikit sebanyak mencabar kebolehannya untuk menyanyi.
Filem Frozen agak mencabar kerana watak Olaf memerlukan saya untuk menyanyi. Tapi saya seronok dapat terlibat dalam projek ini di samping Marsha dan Liyana Jasmay.
Frozen yang turut dibintangi oleh Marsha Milan Londoh sebagai Puteri Elsa dan Liyana Jasmay sebagai Puteri Anna akan menemui penonton di pawagam pada 28 November 2013.