berita

Kemudahan KBS Dirakyatkan – Stadium SNBJ Untuk Hari Sukan Sekolah, Kem Wawasan Negara Untuk Orang Ramai

October 4th, 2023 | by Nurul
Kini Trending

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini menyediakan direktori fasiliti sukan dalam laman sesawang KBS dengan menyenaraikan sebanyak 1135 fasiliti yang membolehkan orang ramai mengakses dan membuat carian kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Yang terbaru, KBS juga telah merakyatkan beberapa fasiliti seperti Kem Wawasan Negara untuk program perkhemahan keluarga dan Stadium Nasional Bukit Jalil kepada semua sekolah secara percuma khusus untuk penganjuran hari sukan.

Kem Wawasan Negara boleh digunakan oleh orang ramai untuk riadah

Kredit Foto: KBS

Untuk pengetahuan semua, KBS kini menawarkan Fasiliti Kem Wawasan Negara bagi kegunaan orang ramai untuk aktiviti berkhemah dan riadah bersama keluarga.

Ia bertujuan untuk merakyatkan fasiliti KBS dan memberi manfaat kepada orang ramai untuk beriadah, meningkatkan hubungan dan rasa tanggungjawab kekeluargaan dalam kalangan rakyat Malaysia serta memupuk amalan nilai murni dan integriti keluarga demi keharmonian hidup, sekaligus memupuk keseimbangan kerjaya dan kehidupan (work life balance).

Sebagai langkah permulaan, pada 3 September lalu, program rintis Perkhemahan Keluarga menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan.

Kredit Foto: KBS

Menurut YB Hannah Yeoh, program perkhemahan itu yang menjadi sebahagian daripada aktiviti Rakan Muda KBS, diadakan secara percuma pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 1 hingga 30 September yang lalu.

Bagaimanapun, pada bulan seterusnya, kadar bayaran minimum yang sesuai atau pada kadar mampu mungkin sekitar antara RM10 atau RM20 akan dikenakan bagi setiap keluarga bertujuan untuk kerja pembersihan kawasan dan utiliti juga sebagai salah satu inisiatif Rahmah KBS dalam menjayakan program ini.

Kredit Foto: KBS

Selain itu, Kem Wawasan Negara juga dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti surau, tandas awam dan kawasan riadah sesuai dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah untuk kepentingan masyarakat terutama dalam memupuk amalan dan budaya nilai murni.

Lebih menarik, program ini akan diperluaskan di enam lagi Kem Wawasan Negara yang lain di seluruh negara termasuk Kem Wawasan Ulu Kenas (Perak), Kem Wawasan Negara Maran (Pahang), Kem Wawasan Negara Langkawi (Kedah), Kem Wawasan Negara Kundasang (Sabah) dan Kem Wawasan Negara Besut (Terengganu) serta Kem Wawasan Negara Balik Pulau (Pulau Pinang).

Stadium Nasional Bukit Jalil boleh digunakan secara PERCUMA untuk hari sukan sekolah

Kredit foto: KBS

Kalau sebelum ini Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi venue utama untuk pasukan bola sepak negara beraksi dan anjuran konsert, namun kali ini ia dibuka kepada semua sekolah untuk menggunakannya secara percuma bagi tempoh dua tahun, khusus untuk penganjuran hari sukan.

Menurut YB Hannah Yeoh, inisiatif ini juga secara tidak langsung membantu pihak sekolah mengurangkan kos menyewa padang apabila mereka hanya perlu membayar kos sewa dengan kadar diskaun jika mahu menggunakan stadium. Untuk tempahan pula, ia tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan.

“Ini selaras dengan pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya mahu murid rasai pengalaman berlari 100 meter di SNBJ kerana ia mungkin beri inspirasi kepada mereka untuk menjadi atlet,” katanya lagi.

Selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.

Untuk maklumat lanjut tentang direktori fasiliti dan kemudahan, layari laman web KBS  atau ikuti semua platform media sosial KBSMalaysia.

SKIP THIS AD ×