berita

Pelaksanaan Generasi Penamat Rokok & RUU Kawalan Produk Merokok Disambut Baik Orang Ramai, Tindakan Sewajarnya Perlu Segera Diambil Oleh Pihak Berwajib

October 5th, 2023 | by Nurul
Kini Trending

Kredit: 123rf

Berikutan trend merokok dan penggunaan vape atau rokok elektronik yang semakin membimbangkan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan polisi Generasi Penamat Rokok iaitu perundangan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 iaitu larangan pembelian, penjualan dan merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada Generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Sehingga kini dianggarkan kira-kira 4.8 juta rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Bayangkanlah, trend ini semakin meningkat dan tidak menunjukkan sebarang penurunan sejak tahun 2016. Tak ke merisaukan tu?

Jun lalu, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 telah pun dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama dan ia menerima pelbagai reaksi dari orang awam.

Sebuah soal selidik juga telah dijalankan secara dalam talian bagi melihat reaksi rakyat Malaysia mengenai pelaksanaan Generasi Penamat Rokok & RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 (kini dikenali sebagai RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023). Jom kita lihat hasil soal selidik tersebut untuk mengetahui pandangan orang ramai.

Pelaksanaan Generasi Penamat Rokok terima banyak reaksi positif

Kredit: 123rf

Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan sehingga 27 Julai 2022, ramai yang memberikan reaksi positif terhadap pelaksanaan Generasi Penamat Rokok namun, sebanyak 50.2% responden tidak mengetahui bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk melaksanakan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 (kini dikenali sebagai RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023).

Walaupun begitu, 60.7% responden bersetuju bahawa pelaksanaan Generasi Penamat Rokok dan RUU tidak menghalang hak dan kebebasan mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kepentingan dan tujuan utama pelaksanaan Generasi Penamat Rokok iaitu menyelamatkan nyawa lebih ramai rakyat Malaysia terutama generasi muda.

Mana taknya, mengikut Jabatan Statistik Malaysia 2015, dianggarkan penduduk di negara kita akan bertambah sebanyak 1.5% dan dalam masa lima tahun kos perubatan akan meningkat sebanyak 5% setahun untuk kos rawatan bagi penyedia perkhidmatan dan kos pesakit.

Ini sekaligus menyebabkan kerajaan bakal berdepan dengan anggaran kos RM8.77 billion menjelang 2030 untuk merawat tiga penyakit akibat merokok konvensional iaitu kanser paru-paru, serangan jantung dan chronic obstructive airway disease.

Oleh itu, pendekatan ini menunjukkan bahawa kerajaan komited dengan pelaksanaan generasi penamat rokok serta disokong oleh ramai termasuk badan bukan kerajaan, badan profesional serta persatuan ibu dan bapa dan tindakan yang sewajarnya patut diambil oleh ahli parlimen bagi mengelakkan penularan penggunaan rokok, vape dan pods secara berleluasa.

Orang ramai menyokong pelaksanaan Generasi Penamat Rokok dan RUU

Kredit: 123rf

Apabila ditanya tentang persetujuan tentang pelaksanaan Generasi Penamat Rokok & RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 (kini dikenali sebagai RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023), 81.6% responden bersetuju ia dilaksanakan.

Hal ini mungkin didukung oleh meningkatnya masalah kesihatan di antara perokok dan pengguna rokok elektronik, seperti penyakit yang terkait dengan penggunaan produk rokok elektronik E-Cigarette or Vaping Products Use-Associated Lung Injury (EVALI), kerana berdasarkan hasil survey, sebanyak 60.3% responden mengetahui apa itu penyakit EVALI dan dampaknya terhadap kesihatan.

Justeru itu, tak hairanlah KKM dan NGO menggesa supaya usaha ini diluluskan di Parlimen dan tindakan yang sewajarnya diambil melalui pelaksanaan Generasi Penamat Rokok di bawah RUU kerana usaha ini dilihat penting bagi memastikan misi untuk menurunkan jumlah perokok turun kepada kurang daripada 5% menjelang tahun 2040 tercapai.

SKIP THIS AD ×