berita

Sifat Prihatin Bantu Pelajar Universiti, Uncle MyCar ini Akhirnya Terima…

September 18th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Beberapa hari ini viral di media sosial tentang kisah seorang pemandu perkhidmatan MyCar berbangsa Cina membantu seorang pelajar universiti berbangsa Melayu yang berhadapan dengan detik cemas apabila keciciran wang semasa berbelanja di salah sebuah pasar raya.

Sifat tolong-menolong dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemandu, Yew Ah Tat turut mendapat perhatian serta pujian netizen. Penularan insiden ini juga sekaligus berjaya meraih perhatian syarikat besar tersebut, MyCar.

Buat baik, dibalas jua

Dalam pada itu, menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi MyCar, syarikat besar ini mengatakan hasrat mereka untuk memberi sedikit ganjaran kepada Ah Tat dan Ninie yang juga merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sikap yang ditunjukkan oleh pemandu MyCar tersebut membuktikan bahawa perpaduan kaum di kalangan rakyat Malaysia masih utuh tanpa mengira kaum, warna kulit dan agama.

Sebagai tanda penghargaan, pihak MyCar akan memberi ganjaran RM 500 tunai pada En. Yew Ah Tat serta tiada penolakan komisen pemanduan selama 3 bulan.

Bukan itu sahaja, MyCar juga turut memahami bebanan yang ditanggung oleh pelajar tersebut dan akan menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM500 kepadanya.

‘Saya harap dapat jumpa uncle lagi’

Menerusi mStar, pelajar tersebut mengatakan rasa syukur dengan ganjaran yang diberikan oleh syarikat MyCar kepada pemandu tersebut kerana Uncle itu berhak menerima ganjaran atas kebaikan yang dilakukannya.

Saya bersyukur sebab kebaikan dia dibalas tanpa dia minta kerana dia berhak menerimanya. Dan cerita ini berjaya membuka mata ramai netizen bahawa sebenarnya tidak rugi untuk berbuat kebaikan.

Tuhan itu ada di mana-mana. Kita buat baik, orang buat baik semula dekat kita. Apapun, saya berharap dapat jumpa uncle tu lagi.

Niat nak bersedekah dekat kawan-kawan

Tambah gadis ini lagi, dia berasa amat terharu dan berterima kasih atas ganjaran yang diberikan. Menurut Ninie, niatnya hanya untuk berkongsi kisah kebaikan uncle itu sahaja tetapi dia tidak sangka ianya akan menjadi viral sehingga meraih perhatian syarikat besar MyCar tersebut.

Walau bagaimanapun, dia berasa rezeki menyebelahinya disebabkan kebaikan uncle itu.

Saya akan gunakan duit itu sebaik mungkin dan bercadang juga nak bersedekah sedikit sebanyak bagi membantu kawan-kawan yang dalam kesusahan di unibersiti.

Sumber: MyCar, mStar

 

SKIP THIS AD ×