berita

Tiada Penyingkiran, Lima Protege Mara Ke Separuh Akhir Mentor 7!

December 19th, 2018 | by Wan
Shout Out!

Semua mentor menarik nafas lega apabila anak didik mereka mara ke separuh akhir terutama Datuk Syafinaz yang masih mempunyai dua protege. Sekali gus memberi kelebihan untuk mendahului mentor-mentor lain.

Setelah mempersembahkan lagu masing-masing dengan baik, debaran diakhiri juri tetap, Mas Idayu yang menyelamatkan Ranisha dan Azmirul daripada tersingkir. Menduduki dua tangga terbawah, Ranisha mengumpul mata keseluruhan 57 markah manakala Azmirul 43 markah. Masing-masing menerima 2 markah daripada undian atas talian, Ranisha menerima 20 markah daripada juri awam professional, 16 markah buat Azmirul. Juri tetap memberikan 35 markah untuk Ranisha dan 25 markah kepada Azmirul.

Terima kasih juri!

Menurut Mentor, Hafiz Suip berterima kasih kepada juri tetap kerana memberi satu lagi peluang kepada Azmirul.

Alhamdulillah. Kami ingin berterima kasih sekali lagi kepada juri tetap, Datuk Wah Idris dan Mas Idayu kerana memberi satu lagi peluang kepada Azmirul. Pada minggu hadapan, kami akan berusaha menjadikan persembahan Azmirul sesuatu yang jauh lebih baik dan matang.

Konsert ketujuh Mentor 7 dimulakan dengan persembahan Ranisha dengan lagunya Never Enough, dipetik daripada filem The Greatest Showman. Nyanyian Ranisha mempunyai peningkatan saban minggu dengan ‘range’ yang tinggi serta ‘high register’ yang baik.

Zaaim menyusuli dalam persembahan kedua menyanyikan lagu Januari nyanyian asal Glen Fredly. Mungkin terlalu selesa setelah tiga minggu berturut-turut mendapat persembahan terbaik, Zaaim kurang memberi impak dalam persembahannya. Menyanyikan lagu Gelombang Cinta oleh Heavy Machine, Azmirul juga tidak memberi aura dalam nyanyiannya namun mempunyai tona suara yang bagus. Keseluruhan persembahannya agak baik pada minggu ini.

Persembahan memukau

Persembahan Pasya setiap minggu tidak pernah gagal menerima tepukan gemuruh daripada penonton di studio. Menyanyikan lagu daripada band lagenda E.Y.E, Izinkan Selamanya Namamu Di Hati, Pasya diiringi petikan gitar yang sangat mendayu. Lazarul menerbangkan bumbung Sri Pentas 2 pada malam tersebut dengan persembahan balada sentimental yang sangat memukau. Menyanyikan lagu Jeritan Batinku, Lazarul berjaya menggamit perasaan semua penonton sehingga para juri awam memberikannya markah penuh dan mendapat persembahan terbaik seterusnya melayakkan diri ke separuh akhir.

Penyanyi jemputan pada minggu ini adalah Haqiem Rusly, menyanyikan lagu kumpulan Slam, Kembali Terjalin dan Afiqah (Protégé Uji Bakat Pilihan) membawakan lagu lama, Tiru Macam Saya.

Mentor 7 sudah hampir sampai ke penghujungnya dengan konsert separuh akhir pada Ahad ini jam 9.00 malam di TV3. Jangan lupa untuk menonton konsert yang penuh mendebarkan ini untuk mengetahui siapakah yang bakal melangkah ke malam konsert akhir Mentor 7. Kongsikan komen anda di media sosial dengan menggunakan hashtag #Mentor7.

SKIP THIS AD ×