berita

Tiba-Tiba Berubah Sikap, Pelajar Tahfiz Berumur 11 Tahun Akhirnya Mengaku Beberapa Kali Diliwat ‘Senior’

September 17th, 2019 | by Athirah
Kini Trending

Di Malaysia, kes mengenai pelajar yang diliwat bukanlah perkara yang asing lagi. Kes-kes seperti ini sudah banyak dilaporkan media termasuk kejadian membabitkan pusat tahfiz sehingga ia menjadi trauma buat ramai ibu bapa tentang keselamatan anak mereka.

Jika sebelum ini, negara pernah digemparkan dengan kes membabitkan mudir di sekolah tahfiz bertindak meliwat pelajarnya, kali ini lain pula yang berlaku apabila seorang pelajar di sekolah tahfiz ini mendakwa telah diliwat oleh beberapa orang senior di pusat tahfiz yang diduduki.

Berlaku perubahan sikap

Menerusi laporan Harian Metro, perkara tersebut terbongkar selepas kanak-kanak lelaki yang baru berusia 11 tahun itu menceritakan tentang tragedi hitam yang berlaku kepada ibunya.

Ibu kepada kanak-kanak malang tersebut memaksa anaknya itu menceritakan perkara yang sebenar selepas mendapati berlaku perubahan sikap dalam diri anaknya.

Berdasarkan laporan portal itu, kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz di Beserah, dekat Kuantan, sejak beberapa bulan lalu.

Berlaku sejak April

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan keterangan yang telah diambil, mangsa mengaku pernah diliwat beberapa kali oleh rakan sebiliknya.

Katanya, mangsa memaklumkan dirinya telah diliwat sejak dari April lalu dan ia dilakukan pada waktu awal pagi.

Mangsa memaklumkan mula diliwat sejak April lalu dan kejadian berlaku pada awal pagi. Mangsa juga dikatakan takut dengan beberapa rakannya hingga menyebabkan dia tidak menceritakan kejadian itu kepada warden dan ibu bapanya.

Bagaimanapun selepas mangsa berhenti belajar di sekolah itu pada bulan lalu kejadian itu terbongkar sebelum ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Beserah pada Jumaat lalu.

Suspek sudah ditahan

Mohd Noor memaklumkan, susulan itu polis telah menahan reman tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun bagi membantu siasatan.

Penahanan terhadap ketiga-tiga remaja itu telah dibuat pada hari yang sama ibu mangsa membuat laporan.

Selain itu katanya, mangsa juga akan menjalani pemeriksaan perubatan dan keterangannya akan diambil bagi melengkapkan siasatan.

Sumber: Harian Metro