berita

Doktor Jelaskan Kepentingan Steroid Dalam Merawat Ekzema

February 18th, 2019 | by Ai
Kesihatan & Hidup Aktif

ekzema

Ekzema atau dikenali sebagai atopic dermatitis (kulit) biasanya terjadi pada bayi atau kanak-kanak. Ia merupakan alahan pada bahagian tertentu pada kulit sehingga menyebabkan merah, kering, bersisik dan sangat gatal. Biasanya, doktor akan memberikan ‘krim sapu’ yang perlu disapu pada bahagian yang kegatalan.

Salah satu kandungan yang terdapat dalam krim sapu adalah steroid. Namun, ada segelintir pesakit ekzema yang takut untuk menggunakan sebarang ubat yang mengandungi steroid dengan alasan ianya bahaya. Jadi, perkongsian daripada Dr. Syameen Afira, Pakar Perunding Dermatologi mengenai perlu atau tidak penggunaan steroid bagi pesakit ekzema

Saya nak ekzema baik tapi tak nak steroid

ekzema

Apabila merawat pesakit eczema, saya kerapkali berjumpa dengan pesakit yang dari awal lagi sudah memberi amaran . “Doktor, saya tak nak krim steroid. Steroid bahaya !”.

Namun, pernahkan anda terfikir sama ada‘steroid phobia’ ini benar benar berlandas pada informasi yang betul? Ini saya kongsikan contoh soalan yang perlu ditanya jika ingin mendapatkan maklumat yang betul mengenai krim steroid. Kemudian barulah boleh buat ‘informed decision’!

Apakah itu steroid?

ekzema
Steroid adalah bahan semulajadi dalam tubuh kita yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal. Ia mempunyai banyak fungsi penting khasnya untuk tumbesaran dan pertumbuhan normal. Terdapat pelbagai jenis steroid, dan steroid yang digunakan utk merawat penyakit kulit dikenali sebagai corticosteroid. Corticosteroid ini boleh diberikan dalam bentuk suntikan, pil, ubat air, atau sapuan (topical corticosteroids).

Kenapa perlu rawat eczema dengan steroid?

ekzema

Eczema atau sinonimnya dermatitis adalah keadaan di mana kulit mengalami keradangan – iaitu kemerahan, gatal dan bengkak pada peringkat awal. Jika berlanjutan, kulit boleh menjadi kering dan tebal. Steroid mempunyai sifat anti-radang.

Ia digunakan untuk merawat pelbagai penyakit kulit dari tahun 1960’an lagi. Jadi doktor pakar kulit (dermatologist) mempunyai pengalaman yang banyak, lebih dari 50 tahun untuk menggunakan ubat ini secara berkesan dan selamat. Jika digunakan dengan betul, ia boleh merawat eczema dengan baik seterusnya mengembalikan kualiti hidup pesakit.

Adakah semua ubat sapu steroid sama?

ekzema
Tidak.

Ubat sapu steroid ada pelbagai jenis dan mempunyai kekuatan yang berbeza: mild (paling ringan), moderate (sederhana), potent (kuat) dan super potent (sangat kuat). Contohnya krim Dermovate (super potent) adalah 1000 kali ganda lebih kuat dari Hydrocortisone.

Peratusan ubat pula tidak mewakili kekuatan steroid tersebut contohnya 1% hydrocortisone (mild) kurang kuat berbanding 0.1% betamethasone valerate (potent).

Ubat sapu ini juga datang dalam bentuk-bentuk yang berbeza contohnya lotion (kurang pekat ), krim dan ointment (lebih pekat). Ini mempengaruhi kekuatan steroid yang disapu. Doktor pakar kulit memilih ubat sapu yang sebaiknya untuk pesakit untuk memberi kesan optima tetapi kurang risiko mendapat kesan sampingan.

Apakah kesan steroid?

ekzema

Kesan penggunaan topikal steroid yang disapu terus pada kulit yang berpenyakit adalah rendah berbanding steroid yang dimakan atau dicucuk. Namun, risiko mendapat side effects ini sering diperbesarkan secara tidak bertempat. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Kulit menjadi nipis

Penggunaan sapuan steroid potent/very potent dalam jangkamasa yang lama boleh menyebabkan kulit nipis. Kerosakan kulit boleh berlaku apabila pesakit menyalah gunakan topical steroid tanpa mengikut nasihat doktor.Walau bagaimanapun, doktor pakar kulit akan menyesuaikan jenis steroid serta dos dengan umur pesakit, jenis penyakit, kawasan yang terlibat serta menentukan tempoh masa untuk penggunaan ubat ini.

Jadi, kerosakan kulit disebabkan ubat sapu steroid tidak patut berlaku. Sebaliknya, eczema yang tidak dirawat akan menyebabkan kulit menjadi tebal, bersisik, menggerutu, gatal dan gelap.

2. Penggunaan kerap pada kelopak mata boleh meningkatkan risiko katarak dan glaucoma

Jadi di kawasan kelopak mata , doktor pakar akan memberikan ubat lain di samping menghadkan penggunaan krim steroid yang ringan (mild potency) untuk jangkamasa yang terhad sahaja.

3. Boleh tumbuh jerawat di kawasan yang disapu atau keradangan pada kelenjar rambut (folliculitis)

Namun kulit akan kembali pulih jika penggunaan steroid dihentikan.

4. Pesakit mungkin sedikit pedih semasa mula menggunakan ubat sapu steroid. Ini selalunya akan hilang selepas beberapa hari.

Adakah terdapat ubat lain selain steroid?

ekzema

Ya. Terdapat ubat-ubat lain seperti tacrolimus dan pimecrolimus yang tidak mengandungi steroid. Ini selalunya digunakan sekiranya eczema tidak dikawal dengan optimal oleh ubat steroid. Tetapi, ubat-ubat ini tidak digunakan sebagai first line kerana ubat sapuan steroid terbukti sangat berkesan.

Malah, keselamatan penggunaan sapuan steroid sudah terbukti melalui kajian yang luas dan bertahun tahun. Pesakit eczema juga haruslah kerap menggunakan pelembap sebagai rawatan pelengkap kerana kulit eczema kering dan bersisik.

Penggunaan pelembap yang kerap boleh mengurangkan kebergantungan kepada ubat sapu steroid dan membantu merawat eczema dengan lebih berkesan. Jika terdapat jangkitan kuman, doktor mungkin akan memberi ubat sapu yang mengandungi antibiotic.

Bagaimana dengan ubat alternatif atau herba?

ekzema

Terdapat pelbagai ubat sapu/makan alternatif yang dikatakan mampu merawat eczema. Bahkan, sesetengah KRIM AJAIB ini mampu merawat semua penyakit kulit dari jeragat, jerawat hinggalah eczema dan psoriasis. Perkara ini tidak logik kerana sebab dan mekanisma penyakit-penyakit kulit ini adalah berbeza.

Di samping itu, ada sesetengah ubat ini sebenarnya mengandungi bahan merbahaya dan juga potent steroid, tanpa diketahui oleh penjual apa lagi pembeli sendiri. Pesakit harus lebih berhati-hati dari tipu helah ‘doktor tidak bertauliah’.

Dermatologist adalah doktor pakar dalam penyakit kulit dan rawatannya. Tempoh masa untuk menjadi doktor pakar kulit bertauliah (certified dermatologist) di Malaysia adalah lebih dari sepuluh tahun daripada masa mula bekerja.

Dermatologist boleh membuat diagnosis yang betul, menilai tahap penyakit dan merawat dan meramal jika terdapat komplikasi seperti jangkitan kuman dan alahan. Dermatologist juga mempunyai pemahaman mendalam tentang cara-cara menggunakan ubat steroid. Jadi, mereka boleh merangka pelan rawatan yang tepat untuk setiap individu dan memberikan nasihat yang betul tentang keselamatan ubat yang diberi.

Selamat jika digunakan dengan betul

ekzema

Diharap pesakit akan lebih faham tentang penggunaan ubat sapu yang mengandungi steroid di dalam rawatan eczema. Topical steroid adalah selamat dan sangat baik jika digunakan dengan betul mengikut nasihat doktor, tetapi boleh memudaratkan jika disalah gunakan.

Sumber: Dr. Syameen Afira

SKIP THIS AD ×